SYDNEY, 19 NOV – Sebahagian kawasan Terumbu Sawar Besar mengalami kadar kematian karang tertinggi yang pernah direkodkan, menurut kajian Australia hari ini, dengan saintis bimbang kawasan lain juga mengalami nasib yang sama.
Institut Sains Marin Australia berkata tinjauan di 12 terumbu karang mendapati sehingga 72 peratus karang mati, disebabkan pelunturan besar-besaran pada musim panas, dua taufan dan juga banjir.
Di satu bahagian utara terumbu karang, kira-kira sepertiga karang keras telah mati, yang merupakan ‘kemerosotan tahunan terbesar’ dalam 39 tahun pemantauan kerajaan, kata agensi tersebut.
Terumbu Sawar Besar, yang sering disebut sebagai struktur hidup terbesar di dunia, adalah karang tropika sepanjang 2,300 kilometer yang menempatkan pelbagai biodiversiti yang menakjubkan.
Namun, kejadian pelunturan besar-besaran yang berulang telah mengancam merampas daya tarikan pelancongan dengan mengubah pinggir karang yang dahulunya berwarna-warni kepada warna putih pucat.
Pelunturan berlaku apabila suhu air meningkat dan terumbu karang mengeluarkan alga mikroskopik, dikenali sebagai zooxanthellae, untuk hidup.
Jika suhu tinggi berterusan, karang akhirnya boleh bertukar putih dan mati.
Tahun ini telah disahkan sebagai kejadian pelunturan besar-besaran kelima ke atas karang dalam tempoh lapan tahun lalu.
Namun, tinjauan terbaharu juga mendapati jenis karang yang tumbuh dengan cepat – dikenali sebagai acropora – mengalami kadar kematian yang tertinggi.
Karang tersebut cepat membesar, tetapi salah satu yang pertama terjejas oleh pelunturan. – AFP