Penyanyi Ramlah Ram, mengakui gagal menahan sebak ketika merakamkan single terbaharunya, Masar Cinta yang bakal menemui peminat, tidak lama lagi.
Penyanyi bervokal lantang itu berkata, perasaan itu timbul kerana terbayangkan wajah pencipta lagu berkenaan, Suzaimi Soaib yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu.
“Arwah ialah peminat dan rakan baik saya. Ketika merakamkan lagu itu beberapa bulan lalu, perasaan saya jadi sebak kerana terbayangkan wajah arwah. Rasa sedih sangat kerana arwah tidak sempat melihat hasil kerjanya. Seboleh mungkin, saya cuba untuk tidak menangis lagi kerana sudah puas mengalirkan air mata ketika awal pemergiaannya dahulu,” katanya.
Selepas beberapa kali tertangguh, Ramlah berkata, projek single terbaharunya itu akhirnya siap dan dia merancang untuk melancarkan lagu itu serentak dengan muzik video.
“Alang-alang sudah ada lagu baharu, kena juga ada muzik video. Proses praproduksi sudah selesai dan mengikut perancangan, konsep video itu akan memberi penghargaan kepada arwah yang banyak menyokong kerjaya saya sebelum ini. Saya akan paparkan wajah arwah dalam muzik video itu sebagai tanda kenangan,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Selebriti Mall, baru-baru ini.
Penyanyi yang berasal dari Kesang, Muar, Johor itu berkata, Masar Cinta masih mengekalkan konsep balada dan bernada tinggi yang menjadi identiti nyanyiannya selama ini. – Agensi
