Friday, July 25, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebar berita palsu masalah global – Salleh

    KUALA LUMPUR, 11 Dis – Isu penyebaran berita palsu merupakan masalah yang dihadapi secara global ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    Beliau berkata fenomena itu akan berterusan dan menjadi cabaran utama dalam usaha mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penyebaran maklumat.

    “Secara analogi, selagi dunia ini ada Internet, isu ini akan berleluasa dan berterusan dan ia akan memberikan cabaran yang lebih hebat di masa akan datang dan semua pihak perlu bekerjasama untuk menghadapinya,” kata Salleh dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang meminta penjelasan bagaimanakah pihak kementerian memantau dan mencegah penyebaran berita palsu dalam media sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ia akan menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat.

    Salleh berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan mengambil pendekatan berbilang serampang dalam menangani gejala penularan kandungan serta berita palsu di platform media sosial, laman sesawang dan internet amnya.

    Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. – Bernama

    “Masyarakat harus menyedari bahawa dengan cabaran kemajuan teknologi antaranya Pengkomputeran Awan dan Teknologi Inkripsi, tindakan penguatkuasaan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian bagi menangani isu tersebut.

    “Apa yang lebih utama adalah pendidikan dan kesedaran awal kepada pengguna dalam memastikan platform digital digunakan secara berhemah dan bijaksana,” katanya.

    Di bawah Seksyen 3(3) Akta 588, ia memberi jaminan tiada tapisan internet oleh kerajaan, namun demikian jaminan tiada tapisan tersebut tidak bermakna mana-mana pihak bebas melakukan kesalahan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira batasan undang-undang, katanya.

    Beliau berkata peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta 588, boleh digunakan bagi tujuan menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan kesalahan penyebaran berita palsu, menanam perasaan kebencian dan memfitnah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda