Tuesday, April 8, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebar kesedaran HIV, STI

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja dan jangkitan penyakit seksual (STI) dalam kalangan remaja dan belia, Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) telah dikendalikan di dua buah institusi pendidikan secara berasingan, kelmarin.

    Semasa program yang dikendalikan di Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan pada sebelah pagi, kira-kira 135 orang pelajar Tahun 10 mengambil bahagian dalam program sebagai sebahagian daripada program kesedaran sekolah berkenaan.

    Sementara itu, pada sebelah petang, kira-kira 39 orang pelajar Tahun 9 dan 10 Sekolah Menengah Masin menyertai program berkenaan.

    Program di Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan menyaksikan ceramah disampaikan oleh Naib Presiden Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council), Dayang Siti Kailene binti Jazlan Kashfi manakala di Sekolah Menengah Masin, ceramah disampaikan oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif, Dayang Siti Najihah Kamilah binti Latif serta anggota pasukan HAPPY.

    Semasa ceramah berkenaan, mereka mengongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.

    Mereka turut menyatakan bahawa angka itu boleh dikurangkan dengan mengamalkan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.

    Program berkenaan merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia yang dikendalikan oleh BDAIDS Council.

    Ia merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta juga aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej yang disampaikan dengan disesuaikan kepada situasi tempatan.

    BDAIDS Council berharap para pelajar akan membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka serta untuk dilaksanakan dalam gaya hidup seharian mereka.

    Antara pelajar yang hadir semasa program berkenaan. – Gambar serahan BDAIDS Council
    Dayang Siti Kailene menyampaikan ceramah semasa Program HAPPY yang diadakan di Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini. – Gambar serahan BDAIDS Council

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda