Gambar AP
NEW YORK – Little Amal, sebuah boneka berukuran 3.7 meter yang mewakili seorang pelarian Syria, akan mengembara ke seluruh Amerika Syarikat (AS) pada musim luruh ini, melawat tempat-tempat penting dalam sejarah Amerika untuk meningkatkan
kesedaran tentang imigran dan penghijrahan.
Boneka kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu akan melawat Capitol AS, Boston Common, Taman Negara Joshua Tree dan Jambatan Edmund Pettus antara lokasi lain semasa pengembaraan yang bermula di Boston pada 7 September dan berakhir 5 November di sepanjang sempadan AS-Mexico.
“Terdapat sesuatu dalam tindakan mengalu-alukan orang asing yang mengubah definisi diri awda,” kata Amir Nizar Zuabi, pengarah artistik.
“Saya rasa itulah sebahagian daripada apa yang kami cuba cipta apabila berjalan ke tempat yang mempunyai sejarah yang indah, rumit dan menentukan.”
Perhentian juga dirancang untuk Philadelphia, Baltimore, Pittsburgh, Detroit, Chicago, Atlanta, bandar-bandar Tennessee seperti Nashville dan Memphis, New Orleans, bandar-bandar Texas seperti Austin, Houston, San Antonio dan El Paso, serta bandar-bandar California seperti Los Angeles dan San Diego.


“Jelas sekali terdapat banyak perkara khusus dalam sejarah Amerika yang kami rasa perlu kami ketengahkan dan itulah sebab kami bermula di Boston,” kata Enrico Dau Yang Wey, ketua pengendali boneka dan pengarah artistik bersama.
“Dan mengapa kami menamatkan pengembaraan di San Diego adalah kerana terdapat begitu sedikit perbezaan antara Amerika Syarikat dan Mexico.”
Little Amal menuntut empati, sebagai boneka seorang gadis yang lemah dan naif yang berada di tempat asing selepas mengharungi pengalaman pahit yang panjang seorang diri.
“Dia hanyalah simbol daripada jutaan kanak-kanak,” kata Zuabi.
“Dengan mempunyai komuniti yang mengambil bahagian dalam perjalanan ini bersama Amal, ia menjadi satu tindakan yang sangat bermakna.”
Penganjur menghubungi artis dan pemimpin komuniti di setiap 35 perhentian — termasuk tempat yang dihormati dalam sejarah Pergerakan Hak-hak Sivil seperti Selma, Alabama, dan tempat kejadian keganasan senjata api baru-baru ini seperti Uvalde, Texas — untuk mencipta lebih daripada 100 acara khas yang berkaitan dengan setiap tempat yang dilawati.
“Kami bekerja sangat rapat dengan rakan kongsi tempatan kami dan cuba memahami kisah yang ingin mereka sampaikan dan cuba mencipta bersama acara yang berkaitan di tempat ini untuk komuniti ini,” kata Zuabi.
“Saya rasa itulah sebahagian daripada mengapa projek ini menjadi sangat emosional bagi ramai orang.”
Little Amal telah dicipta oleh Syarikat Boneka Handspring dari Afrika Selatan, yang juga mencipta boneka yang memenangi anugerah untuk rancangan popular War Horse.
Dia memerlukan empat pengendali boneka pada setiap lawatan, tiga untuk menggerakkan kepala dan anggota badannya dan seorang untuk mengumpul barang yang diberikan oleh orang ramai kepadanya.
Sembilan pengendali boneka akan melakukan perjalanan dari pantai ke pantai bersama Little Amal.
“Pelbagai cara kita mengetahui tentang pelarian, tentang pendatang, tentang penghijrahan, adalah dimaklumkan dalam bahasa Amerika,” kata Zuabi.
“Dalam erti kata lain, itu adalah perbincangan yang kami ingin sertai dan pelajari serta dengari.”
Tahun lepas, boneka tersebut membuat perjalanan 17 hari melalui setiap sudut di New York City, termasuk menyertai pembacaan buku Julian Is a Mermaid di Perpustakaan Awam
Brooklyn dan menyertai pukulan dram di Harlem. Bulan ini, dia akan berada di Toronto.
Boneka itu menghabiskan perjalanan sejauh 8,050 kilometer merentasi Eropah pada 2021, dari sempadan Syria-Turkiye ke barat laut England, mengembara melalui 12 negara — termasuk memberi salam kepada pelarian dari Ukraine di stesen kereta api
Poland dan berhenti di kem pelarian di Greece — dan bertemu dengan Pope Francis.
Wey menggambarkan Little Amal sebagai ‘perkara ajaib yang menyatukan orang ramai secara tiba-tiba’ untuk mewujudkan ‘perasaan empati dan kagum secara kolektif’.
“Setiap perjalanan adalah berbeza dan setiap kali awda akan belajar lebih banyak lagi. Ia adalah salah satu perkara di mana kami belajar semasa bekerja,” tambahnya.
“Saya perlu mendapatkan sepasang kasut berjalan yang baharu.” – AP

