Sebar ‘Say Yes To Peace’ ke seluruh dunia

Oleh Sim Y. H.

Vision Peace Foundation Germany e.V merupakan sebuah organisasi yang tidak berpandukan kepada keuntungan menerusi satu projek, dinamakan sebagai Jelajah Dunia bagi Keamanan (World Tour for Peace) akan melakukan kunjungan ke lebih 100 buah negara di seluruh dunia untuk menyebarkan mesej keamanan untuk semua.

Dengan membawakan mesej utama “Katakan Ya Kepada Keamanan (Say Yes To Peace)”, yang ingin disampaikan oleh organisasi ini akan menyaksikan sendiri keadaan di negara yang dilawati, berjumpa dengan penduduk negara berkenaan, menubuhkan rangkaian persahabatan dan kerjasama.

Tujuan penubuhan organisasi

Naib Pengerusi, Pengurusan Kerjasama Komunikasi, Vision Peace Foundation (VPF), Beate Knopp dan Pengurusan Kerjasama Organisasi, VPF, Monika Koppe-Rulands dalam temu bual bersama Media Permata di Bandar Seri Begawan, menyatakan bahawa organisasi berkenaan ditubuhkan untuk mengetengahkan visi keamanan dunia dan untuk bekerjasama dalam pelbagai projek global di bidang-bidang pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, perlindungan flora dan fauna, kesefahaman antarabangsa dan membantu golongan yang memerlukan.

Kedua-dua ahli organisasi berkenaan berada di Negara Brunei Darussalam sejak 6 Februari lalu di mana lawatan ke Brunei adalah sebahagian daripada lawatan keamanan di bawah projek, Jelajah Dunia bagi Keamanan.

Menurut Beate, keamanan yang ditekankan adalah bukan sahaja keamanan daripada segi kehidupan bermasyarakat tetapi keamanan secara keseluruhan iaitu keamanan hidup bermasyarakat, keamanan negara, keamanan diri, keamanan dengan haiwan dan alam semula jadi.

Beate (kiri) dan Monika amat menyanjung dan kagum dengan keindahan, keamanan dan sikap ramah rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam.
Negara Brunei Darussalam tetap melindungi dan memulihara hutan hujan dan alam semula jadinya. – Agensi

Oleh itu, mereka amat menyanjung tinggi kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang amat mengambil berat mengenai kebajikan rakyat dan penduduk Baginda serta usaha untuk melindungi dan memulihara khazanah hijau negara.

Mengagumi keamanan dan kesejahteraan Brunei

Sementara itu, Monika menyatakan bahawa lawatan mereka ke Negara Brunei Darussalam adalah hasrat untuk mengenali dengan lebih dekat negara yang terkenal dengan keamanannya.

Beliau amat mengagumi kebijaksanaan kepimpinan Baginda Sultan yang menekankan pentingnya keamanan dan kesejahteraan negara, rakyat dan penduduk di negara ini.

Mereka juga amat kagum dengan keprihatinan Baginda dalam menjaga kesejahteraan serta mengambil berat mengenai rakyat dan penduduk Baginda khususnya dalam bidang kebajikan sosial, pendidikan dan kesihatan.

Menerusi lawatan mereka dan perjumpaan dengan rakyat Brunei di tempat-tempat yang dilawati, mereka dapat melihat dan merasai perasaan kasih rakyat dan penduduk negara kehadapan majlis Baginda Sultan yang amat rapat dengan rakyat Baginda iaitu sesuatu yang amat unik bagi mereka.

“Ini merupakan satu hubungan yang amat istimewa dan unik serta sukar dilihat di negara-negara lain,” jelas Monika lagi.

Pada masa yang sama, mereka juga memuji peranan Negara Brunei Darussalam dalam pergerakan keamanan global iaitu menerusi perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan di mana keamanan dengan alam semula jadi dan keamanan di antara seluruh warga dunia amatlah penting untuk generasi akan datang.

“Kita semua tahu akan impak hutan hujan kepada seluruh dunia adalah amat besar dan oleh itu, kita harus melindungi hutan berkenaan. Itulah salah satu sebab kami berada di sini, kami ingin untuk melawat sendiri hutan hujan di Brunei dan merasai sendiri bagaimana rasanya untuk berada di dalam hutan hujan dan alam semula jadi yang indah permai,” jelas Monika ketika ditemu bual.

Mengulas mengenai lawatan mereka di Brunei, Beate amat gembira untuk mengongsi bahawa mereka akan disertai oleh 14 orang rakan daripada organisasi mereka termasuk Pengerusi Pengurusan Umum, Jelajah Dunia Bagi Keamanan, Susanne Knopp, yang akan sama-sama berada di Brunei untuk menyaksikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 pada 23 Februari nanti serta juga akan menyertai lawatan ke hutan hujan Brunei di Daerah Temburong.

Menerangkan mengenai dengan projek dan organisasi mereka, Monika berkata bahawa menerusi projek itu, di mana mereka mempunyai lebih 100 orang ahli atau duta, akan melawat ke lebih 100 buah negara dalam tempoh dua tahun untuk mempromosikan keamanan serta berkongsi mengenai pengalaman keamanan supaya mereka semua dapat menghargai erti sebenar keamanan itu.

“Kami sudah mengadakan lawatan ke lebih 30 buah negara seperti Thailand, Malaysia, Vietnam, Myanmar, Indonesia, New Zealand, Australia, Amerika Syarikat, Mexico dan banyak lagi.”

Kepentingan didikan ke arah keamanan

Beate menerangkan bahawa mesej yang disampaikan sepanjang lawatan mereka adalah penekanan kepada pentingnya pendidik ke arah keamanan dan bagaimana mereka dapat terus menikmati keamanan serta meraih manfaat daripada keamanan itu.

“Kami mempunyai sebuah akademi di Dusseldorf, Jerman di mana awda boleh belajar mengenai falsafah keamanan itu.”

Mereka percaya bahawa keamanan boleh menyatukan semua warga dunia tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang kerana menerusi lawatan serta pertemuan yang diadakan mereka yakin dapat mencapai hasrat ke arah melahirkan warga dunia bagi keamanan.

Semasa lawatan ke Brunei selama dua minggu, mereka berharap untuk bertemu dengan pelbagai pihak dan persatuan untuk berbincang mengenai kerjasama dalam bidang mempromosi keamanan serta untuk benar-benar mengenali Negara Brunei Darussalam.