Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Dalam usaha berterusan Jabatan Penerangan menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan dalam kalangan pelajar untuk sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, Jerayawara Kenali ASEAN telah diteruskan lagi ke Sekolah Menengah Awang Semaun, hari ini.
Jerayawara anjuran jabatan itu melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI telah dihadiri oleh seramai 252 pelajar dari Tahun 7 dan 9 sekolah berkenaan yang bertujuan untuk memberigakan serta membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar sekolah menengah di negara ini.
Ini kerana, golongan belia ini bakal mewarisi kesinambungan bangsa seterusnya berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara.
Pada jerayawara itu, taklimat Kenali Negara ASEAN turut disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 11, Awang Abdul Karim bin Hamdan yang menyentuh tentang kesedaran dan rasa milik dalam kalangan penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.
Turut hadir mendengarkan taklimat tersebut ialah Timbalan Pengetua Sekolah, Haji Mohd Fadhillah bin Haji Ismail serta tenaga pengajar sekolah.
Taklimat diteruskan dengan tayangan video mengenai ASEAN dan diakhiri dengan kuiz yang dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Haji Abdul Hanif bin Haji Abdul Rahim.

