Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebelas terkorban, sembilan hilang dalam banjir Maghribi

    OUARZAZATE, 9 SEPT – Pihak berkuasa Maghribi, kelmarin, memberitahu AFP bahawa 11 orang maut dan sembilan hilang dalam banjir yang disebabkan oleh fenomena iklim ‘luar biasa’ di kawasan selatan.

    Jurucakap kementerian dalam negeri, Rachid Khalfi berkata pihak berkuasa merekodkan angka awal kematian seramai 11 orang selepas ribut petir kuat yang melanda 17 prefektur dan wilayah di kerajaan.

    Antara mangsa ialah tujuh maut di wilayah Tata, kira-kira 740 kilometer di selatan Rabat, dan dua di Errachidia, hampir 500 kilometer ke timur Marrakesh, menurut Khalfi.

    Beliau berkata seorang daripada mangsa adalah warga asing, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Khalfi juga berkata, “isipadu kerpasan yang direkodkan dalam dua hari adalah bersamaan dengan yang biasanya dialami oleh wilayah ini sepanjang tahun.”

    Anggota Pasukan Bantuan dan Perlindungan Awam Maghribi mencari orang yang hilang dalam runtuhan di kawasan Tamanart yang dibanjiri di wilayah Tata pada 9 September. – AFP

    Banjir itu juga menyebabkan 40 rumah runtuh dan 93 jalan raya rosak, dan “menjejaskan bekalan elektrik, air minuman dan rangkaian telefon,” tambahnya.

    Kawasan di selatan Maghribi dan Algeria yang biasanya gersang itu telah dibasahi banjir akibat hujan lebat sejak Jumaat, kata pegawai kepada AFP, kelmarin.

    Kawasan di selatan Maghribi telah terjejas “oleh jisim udara tropika yang sangat tidak stabil”, jurucakap Direktorat Meteorologi Am Maghribi, Lhoussaine Youabd memberitahu AFP.

    Ini “membawa kepada pembentukan awan yang tebal dan tidak stabil” yang menyebabkan hujan lebat, katanya sambil menyifatkan fenomena itu sebagai ‘luar biasa’.

    Akibatnya, wilayah Ouarzazate menerima 47 milimeter air dalam masa tiga jam, dan Tagounite, berhampiran sempadan Algeria, menerima kira-kira 170 milimeter, menurut perkhidmatan cuaca Maghribi.

    “Kami tidak pernah melihat hujan seperti itu selama kira-kira 10 tahun,” kata Omar Gana, penduduk tempatan Ouarzazate, kepada AFP.

    Hujan lebat melanda kawasan Maghribi yang telah mengalami kemarau sekurang-kurangnya enam tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda