Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebuah keluarga Filipina terima hidayah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Sebuah keluarga berbangsa Filipina menemui sinar baharu dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah mereka pada majlis yang berlangsung di Bilik Al-Muhtadiin, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan lafaz ikrar pengislaman yang didahului oleh Joemar Aurellano Esplana, 39, yang memilih nama Islamnya sebagai Omar Esplana bin Abdullah.

    Kemudian diikuti oleh James Garet Magbanua Esplana, 13, yang memilih nama Islamnya sebagai Zaid bin Omar Esplana dan Ion Dreak Magbanua Esplana, 10, yang memilih nama Islamnya sebagai Zayyan bin Omar Esplana.

    Manakala itu, Astrud Paul Magbanua Esplana, 42, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Zainab Paul binti Abdullah.

    Majlis disempurnakan di hadapan para pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah, PDI dan diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baharu yang diraikan serta diserikan dengan Dikir Marhaban.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman; Pemangku Penolong Pengarah PDI, Hajah Zunainah binti Haji Gunong serta Pemangku Penghulu Mukim Berakas A dan Ketua Kampung Pancha Delima dan Kampung Orang Kaya Besar Imas, Awang Omar bin Haji Abdullah.

    Sejak awal Januari lalu hingga 16 Februari, seramai 43 orang yang telah memeluk agama Islam di seluruh negara.

    Haji Abdul Rajid bergambar ramai bersama saudara baharu yang diraikan. – GAMBAR SERAHAN PDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda