Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Sebuah keluarga berbangsa Iban yang merupakan klien Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup baharu mereka setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis pengislaman di Pejabat MKM, Kampung Sungai Hanching, baru-baru ini.
Majlis pengislaman Erney Karlina anak Charlie, 34, berserta anak-anaknya telah dijalankan di hadapan pegawai pengislaman dari Unit Pengislaman, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta para pegawai PDI dan ahli-ahli MKM.
Erney Karlina kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Elvina Fazirah binti Abdullah, sementara itu anak-anaknya, Abby Natasha anak Kamarau, 16, kini dikenali sebagai Nur Aara Alina binti Abdullah; Irwansyah anak Kamarau, 13, dikenali sebagai Muhammad Haiqal Arsyad bin Abdullah; James Zahwan anak Kamarau, 9, kini dikenali sebagai Muhammad Haikal Zaqwan bin Abdullah dan Abby Natalia anak Kamarau, 8, pula dikenali sebagai Nur Maisara Hilya binti Abdullah.
Menurut Elvina Fazirah, keputusan mereka sekeluarga untuk memeluk agama Islam datang daripada hati mereka sendiri tanpa ada paksaan daripada sesiapa dan melahirkan rasa syukur kerana selama ini telah mendapat perhatian dan bantuan daripada MKM.
“Kebajikan serta kesejah-teraan kami sekeluarga sentiasa dipeduli oleh MKM, untuk itu saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada MKM,” ujarnya.
Majlis diteruskan dengan laungan Dikir Marhaban dan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu.
