Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sebuah premis perniagaan langgar Akta Sukatan dan Timbangan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV Sebuah premis perniagaan telah didapati melanggar Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, manakala tiada kesalahan didapati di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 semasa pemeriksaan bersepadu bulanan yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi di Daerah Tutong baru-baru ini.

    Pemeriksaan bersepadu di antara JPES dan Unit SDT adalah merupakan aktiviti penguatkuasaan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dalam usaha untuk membantu mempromosi persekitaran perniagaan yang beretika dan wajar dengan memastikan kepatuhan terhadap perundangan-perundangan berkenaan.

    Skop pemeriksaan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya merangkumi pemeriksaan terhadap paparan tanda harga agar tanda harga dipamerkan dengan terang dan jelas, serta pemeriksaan ke atas barangan yang dikawal harga di bawah Akta iaitu minyak masak, susu tepung formula anak damit dan barangan bersubsidi seperti beras dan gula.

    Manakala, skop penguatkuasaan di bawah Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 adalah bagi memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT selaras dengan kehendak akta dan peraturan-peraturan di bawahnya.

    Kesemua premis perniagaan yang diperiksa semasa lawatan bersepadu telah didapati mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu tidak menjual barangan yang dikawal harga di bawah Akta melebihi harga maksimum yang ditetapkan, serta mempamerkan tanda harga dengan betul dan jelas bagi barangan yang dijual di dalam premis perniagaan.

    Sementara itu, Unit SDT telah mengeluarkan satu Notis Penyitaan ke sebuah syarikat kerana didapati menggunakan alat sukat dan timbang yang telah mansuh pendaftarannya.

    Pihak syarikat adalah dikehendaki untuk hadir ke pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu tersebut.

    JPES dan Unit SDT secara berterusan menasihatkan para peniaga untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dan wajar dengan sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi saluran-saluran rasmi seperti berikut iaitu Akta Kawalan Harga, Penggal 142 – Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui melalui Talian Darussalam 123 atau aplikasi PenggunaBijak; dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 – Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn.

    Pegawai penguatkuasa JPES semasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan. – Gambar serahan JPES
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...