Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebuah restoran diarah dikosongkan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Sebuah restoran di Kampung Kiulap, Mukim Gadong telah dikeluarkan Notis Mengosongkan Unit Premis oleh Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan pada 24 Januari.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ABCi, menyatakan bahawa notis itu dikeluarkan sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 16(1)(a), Akta Kawalan Bangunan (Penggal 256) iaitu tiada seorang pun boleh menduduki, membenarkan atau menyebabkan untuk diduduki, mana-mana bangunan atau bahagiannya di mana kerja bangunan telah dijalankan melainkan pihak berkuasa telah mengeluarkan permit Kesiapan Kemajuan dalam bangunan itu atau bahagian dari bangunan itu.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa, mana-mana orang yang melanggar seksyen berkenaan melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi $20,000, penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Pemilik, pengusaha dan penyewa unit atau premis bangunan dikehendaki mematuhi Akta Kawalan Bangunan (Penggal 256), Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan, piawaian dan garis panduan yang berjalan pada masa ini.

    Orang Yang Berkelayakan (Qualified Person) yang dilantik bertanggungjawab untuk memberikan nasihat kepada klien mengenai setiap kerja tambahan atau ubahsuai menurut Akta Kawalan Bangunan (Penggal 256) dan Peraturan Kawalan Bangunan sebelum permohonan kebenaran kemajuan dihadapkan.

    Sebagai peringatan, orang ramai termasuk pemilik, pengusaha dan penyewa unit atau premis bangunan hendaklah sentiasa mematuhi sebarang akta-akta, peraturan-peraturan, piawaian-piawaian dan garis panduan-garis panduan yang berjalan pada masa ini bagi mendukung pembangunan negara berpandukan kepada akta dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi ABCi menerusi e-mel, enforcement.ABCI@mod.gov.bn.

    Pegawai penguat kuasa menampalkan notis arahan pengosongan ke atas sebuah restoran di Kampung Kiulap. – GAMBAR SERAHAN ABCI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda