Oleh Daniel Lim
BELAIT, 1 DIS – Sebuah restoran di Kuala Belait, hari ini telah didenda $1,000 oleh Bahagian Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria kerana melanggar Bab 30 Seksyen 12(1) Akta Kesalahan-kesalahan kecil.
Restoran berkenaan yang dikenali sebagai Restoran Halim Sdn Bhd yang terletak di Bangunan Pengiran Haji Hashim, Jalan Jaya Negara, Kuala Belait telah gagal menyelenggarakan perangkap minyak yang mengakibatkan kebocoran minyak masak yang kotor.
Dalam pada itu, restoran tersebut diberi masa tujuh hari untuk menyelesaikan denda itu, dan jika gagal berbuat demikian kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah.
Jika didapati bersalah, denda selanjutnya tidak kurang daripada $2,000 dan tidak lebih daripada $10,000 akan dikenakan kepada syarikat yang bertanggungjawab, manakala kesalahan berikutnya akan dikenakan denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak lebih daripada $30,000 atau penjara tidak kurang 12 bulan.
Sehubungan itu, orang ramai dan pemilik perniagaan diingatkan untuk sentiasa memastikan kebersihan persekitaran mereka, mengambil perhatian bahawa pegawai Bahagian Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria kerap melakukan rondaan bagi memastikan sampah dibuang di kawasan yang ditetapkan.
Oleh yang demikian, bagi sebarang aduan bolehlah dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan, Kuala Belait dan talian hotline Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria di 3330789 atau 3330780 sambungan 215.