Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Perusahaan Amlynor Sdn Bhd, hari ini, dijatuhi hukuman denda $5,000 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata tahunannya ke Bahagian Pendapatan, Kementerian Kewangan.
Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman memutuskan denda itu selepas wakil syarikat mengaku bersalah kerana gagal mengemukakan cukai pendapatan syarikat yang berakhir pada 31 Disember 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2015.
“Kesalahan seperti ini boleh dielakkan jika syarikat mengupah seorang akauntan untuk melengkapkan butiran syarikat,” tegas Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien.
Dakwaan terhadap syarikat itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas di bawah Seksyen 78 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan.
Syarikat-syarikat dikehendaki melengkapkan butiran pendapatan pulangan bagi maksud menentukan pendapatan mengikut Seksyen 52 Akta Pendapatan Cukai (Bab 35).