Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebuah syarikat dikenakan denda kompaun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Tujuh buah syarikat dan tiga orang individu telah diberikan amaran oleh pihak berkuasa sementara sebuah lagi syarikat telah dikenakan denda kompaun.

    Kesalahan tersebut telah dikenal pasti semasa operasi Kemas (OPKEMAS) yang diadakan baru-baru ini oleh pihak Autoriti Perancang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa di Daerah Brunei Muara.

    Denda kompaun yang diberikan kepada syarikat berkenaan disebabkan tidak mematuhi amaran pihak berkuasa dan telah melanggar Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 iaitu meletakkan, menggunakan, menghalang, mempamerkan barang-barang di kawasan letak kenderaan bagi salah satu premis perniagaan di Mukim Berakas.

    Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini menegaskan, selain dari mengubah penggunaan dan mengurangkan jumlah petak letak kenderaan bagi premis perniagaan berkenaan, kegiatan seperti ini juga telah menjejaskan nilai aestetik dan kecantikan kawasan-kawasan.

    Sehubungan itu, orang ramai diingatkan denda bagi setiap satu kesalahan adalah sejumlah wang tidak melebihi $500 dan diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda-denda tersebut.

    Pihak Autoriti Perancang melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan mengingatkan orang ramai khususnya syarikat dan pemilik-pemilik bangunan perniagaan dan industri untuk sama-sama sentiasa mematuhi undang-undang perancangan.

    Ini adalah bagi memastikan keindahan, kebersihan serta keselamatan kawasan perniagaan di Negara ini untuk sentiasa di jaga. Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perancang Bandar dan Desa di talian 8200222.

    OPKEMAS telah mengenakan denda kompaun kepada sebuah syarikat kerana tidak mematuhi amaran pihak Autoriti Perancang, JPBD. – GAMBAR SERAHAN JPBD, MOD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda