Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Syarikat RP Sdn Bhd didenda $2,000 oleh Mahkamah Majistret, kelmarin, atas kesalahan gagal mengemukakan butiran pulangan tahunan syarikat ke Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan. Denda diputuskan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid selepas pengarah syarikat mengaku bersalah atas tuduhan gagal mengemukakan pulangan cukai tahunan yang berakhir pada Disember 2014 dan 2015.
Di bawah Seksyen 52 Akta Pendapatan Cukai (Bab 35), syarikat-syarikat dikehendaki untuk melengkapkan butiran pendapatan pulangan bagi maksud menentukan pendapatan, dan adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 78 (1) (b) dari akta sama jika gagal berbuat demikian. Pendakwaan terhadap syarikat dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah binti Haji Lakim.