Sebuah syarikat, tiga individu dikenakan kompaun

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Sebuah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $500 dan tiga individu warga asing dikenakan kompaun $100 setiap seorang kerana membuang sampah barang binaan dan puntung rokok di tempat awam di kawasan Batu Bersurat dan sekitar pusat Bandar Seri Begawan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, hari ini, syarikat dan tiga orang individu berkenaan iaitu dua orang warga Bangladesh dan seorang warga India itu didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) dan (d) semasa pemantauan kebersihan rutin harian Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Kenyataan menyatakan bahawa dalam kes itu, syarikat dan individu-individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal boleh dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000, manakala itu, kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan juga memperingatkan supaya syarikat-syarikat perniagaan dan orang ramai tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.

Sebarang aduan dan maklumat yang berkaitan dan mencurigakan boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel [email protected]

Bekas barang binaan yang didapati dibuang di tempat awam semasa pemantauan kebersihan rutin harian Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran.