Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Mahkamah di sini, hari ini, menangguhkan sebutan kes seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan mencuri dan menukar plat pendaftaran kereta sehingga 11 Ogos 2018.
Penangguhan kes Noraluidin bin Nordin, 22, dibuat Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid selepas Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali memaklumkan mahkamah yang siasatan terhadap tertuduh masih dijalankan polis.
Tertuduh didakwa mencuri plat pendaftaran bahagian belakang kereta yang diletakkan di kawasan Sengkurong pada 27 Julai 2018 jam 2 pagi.
Dia juga didakwa mencuri satu lagi plat pendaftaran bahagian depan dan belakang kereta dari kawasan letak kereta Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Mulaut pada 27 Julai 2018.
Tertuduh turut dituduh mencuri sebuah kereta dari kawasan Sengkurong pada 1 Ogos 2018 jam 2:48 pagi, dan menukar plat pendaftaran kereta ketika di Kampung Katimahar pada 1 Ogos.
Tertuduh diperintahkan untuk terus ditahan reman.