PAPAR, 28 FEB – Sebutir lagi bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua dan masih aktif ditemukan di lokasi sama di tapak pembinaan berdekatan sebuah kilang di Kinarut di sini pagi tadi, selepas penemuan pertama Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata pemeriksaan awal mendapati bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) itu bersaiz sama dengan bom pertama yang ditemukan oleh pekerja pembinaan ketika kerja mengorek tanah di kawasan itu.
Beliau berkata selepas menerima laporan kejadian pada pukul 7:30 pagi, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan objek tersebut adalah bom peninggalan Perang Dunia Kedua.
“Kita akan adakan mesyuarat peringkat daerah dengan memanggil agensi terlibat untuk menyelaraskan kerja pemusnahan bom itu…Kita tidak mahu mengganggu ketenteraman awam atau menyebabkan kerosakan harta benda. Kita mahu mendapat kata putus daripada agensi dan syarikat terlibat dahulu sebelum memusnahkannya.
“Maklumat yang kita peroleh menunjukkan bom ini masih aktif dan berbahaya. Oleh itu, kita mahu mengambil tindakan secepat mungkin untuk memusnahkannya…paling penting ialah keselamatan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian hari ini. – Bernama
