WASHINGTON, 15 JAN – Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) kelmarin mengumumkan bahawa ia menyaman jutawan teknologi Elon Musk, mendakwa beliau gagal mengisytiharkan secara tepat pemilikannya terhadap lebih lima peratus saham Twitter sebelum mengambil alih syarikat itu pada 2022, lapor agensi berita Jerman, dpa.
SEC mendakwa bahawa Musk mula membeli saham Twitter pada awal 2022 dan melepasi had lima peratus pada 14 Mac 2022. Mengikut undang-undang, beliau sepatutnya mengisytiharkan fakta itu secara terbuka dalam tempoh 10 hari kalendar, tetapi beliau tidak mengumumkan bahawa beliau telah memegang sembilan peratus syarikat itu sehingga 4 April, iaitu 11 hari lewat, kata SEC.
Menurut fail SEC, harga saham Twitter melonjak 27 peratus selepas pengisytiharan tersebut. Agensi itu menganalisis pembelian Musk dan menyimpulkan bahawa beliau ‘membayar kurang sekurang-kurangnya AS$150 juta untuk pembelian saham biasa Twitter pada tempoh itu.’
Pemegang saham yang menjual saham mereka kepada Musk sepanjang tempoh itu dilaporkan mengalami kerugian kewangan, dakwa saman itu. SEC menuntut agar Musk membayar kembali jumlah tersebut – ditambah dengan denda tambahan. – Bernama