WASHINGTON, 28 Sept – Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran (SEC) Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk melakukan penipuan sekuriti, dengan dakwaan bahawa Musk telah memperdayakan para pelabur pada bulan lalu melalui beberapa kenyataan dalam Twitter tentang isu penswastaan syarikatnya.
Kenyataan Musk pada 7 Ogos lalu menyatakan bahawa dia mempunyai ‘pembiayaan yang terjamin’ untuk menswastakan pengeluar kereta elektrik itu pada harga AS$420 setiap sesaham. Ini mengakibatkan kenaikan sementara harga saham Tesla.
Menurut SEC, kenyataan Musk di Twitter adalah ‘salah dan mengelirukan’ kerana dia tidak pernah membincang tentang rancangannya dengan para pegawai syarikat atau pelabur yang berpotensi.
Musk seterusnya mengatakan bahawa dia telah memutuskan untuk tidak meneruskan dengan rancangannya.
Musk menolak dakwaan SEC dengan pantas semalam dengan menyatakan bahawa dakwaan itu adalah tidak berasas dan berjanji untuk mempertahankan dirinya.

“Tingkah laku SEC yang tidak wajar ini amat menyedihkan dan mengecewakan saya,” ujar Musk dalam satu kenyataan.
“Saya selalu mengambil tindakan yang menitikberatkan kebenaran, kejelasan dengan para pelabur. Integriti adalah nilai yang paling penting dalam hidup saya dan fakta yang ada akan menunjukkan bahawa saya tidak pernah mengkompromikan hal ini dalam apa juga cara.”
Dakwaan SEC merupakan ancaman paling berpotensi kepada masa depan Musk sebagai seorang usahawan, kerana agensi berusaha mengenakan denda dan pemulangan wang yang diperoleh secara haram, dengan kemungkinan Musk turut akan dihalang daripada bertugas sebagai pegawai atau ahli lembaga di mana-mana syarikat dagangan awam.
Stephanie Avakian, Pengarah Bersama Penguatkuasaan SEC, telah memberitahu wartawan bahawa Musk tahu kenyataannya itu kurang bersandarkan pada fakta.
CEO Tesla itu ‘belum lagi membincangkan syarat-syarat urus niaga utama, termasuk harga, dengan mana-mana sumber pendanaan yang berpotensi’ menurut Avakian pada satu persidangan akhbar.
Dakwaan ini memberikan tamparan kepada usahawan Silicon Valley dan syarikatnya, yang terjejas dalam beberapa bulan ini kerana bergelut untuk mencapai sasaran pengeluaran. – AFP