Friday, November 15, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sedania ambil alih Fintech untuk RM12 juta

    KUALA LUMPUR, 27 Feb – Syarikat pemerkasaan teknologi, Sedania Innovator Bhd, merancang untuk mengambil alih syarikat teknologi kewangan berasaskan syariah, Sedania As Salam Capital (SASC), untuk RM12 juta.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Sedania Innovator berkata, pembelian itu akan dijelaskan melalui RM4.0 juta tunai dan RM8.0 juta melalui penerbitan 25.8 juta saham biasa baharu Sedania Innovator pada harga terbitan 31 sen sesaham.

    “Pembayaran tunai RM4.0 juta akan dibuat secara berperingkat-peringkat dalam tiga transye, iaitu RM1.0 juta bagi transye pertama dan masing-masing RM1.5 juta pada transye kedua dan ketiga selepas pemenuhan jaminan keuntungan,” katanya.

    Sedania Innovator berkata, di bawah cadangan pengambilalihan itu, SASC akan menawarkan jaminan keuntungan RM1.5 juta setahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dan 2018.

    “Sejak 2010, SASC menawarkan sistem As-Sidq TM, iaitu sistem dagangan komoditi Tawarruq yang menggunakan kredit masa berbual telekomunikasi prabayar kerana komoditi yang didagangkan itu berdasarkan prinsip syariah,” katanya.

    Menurutnya, sistem elektronik dan As-Sidq TM automatik sepenuhnya kini digunakan 21 syarikat perkhidmatan kewangan di Malaysia, termasuk institusi kewangan dan koperasi bagi memudahkan pembiayaan Islam kepada pelanggan.

    Platform As-Sidq TM, yang memberi fokus kepada pemprosesan pembiayaan Islam berdasarkan prinsip syariah, telah memperoleh dan menerbitkan patennya pada Januari 2017, katanya.

    Setakat ini ia telah memproses lebih 300,000 transaksi pembiayaan peribadi bernilai lebih RM25 bilion. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda