Thursday, July 4, 2024
30 C
Brunei

    -

    Sedekad tulis artikel mengenai Malaysia dalam bahasa Jepun

    KUALA LUMPUR – Dek kekurangan maklumat dalam bahasa Jepun dan minat yang mendalam mengenai Malaysia, dua wanita dari negara Matahari Terbit itu mengambil inisiatif dengan menulis tentang negara ini sejak hampir sedekad lepas dalam bahasa ibunda mereka.

    Dua wanita Jepun berkenaan, Aki Uehara, 45, dan Oto Furukawa, 51, aktif menulis artikel berkenaan Malaysia merangkumi pelbagai kategori antaranya makanan, budaya, hiburan, filem dan tempat menarik yang ada di sini, dengan menggunakan nama ‘WAU’.

    Ketika dihubungi Bernama, Aki yang fasih bertutur bahasa Melayu berkata, lebih 100 artikel mengenai Malaysia telah ditulis bermula dengan penerbitan bercetak seperti surat khabar dan majalah, sebelum beralih kepada portal dalam talian bermula 2022.

    Menyoroti kembali perjalanan itu, Aki berkata sekembali ke negaranya selepas menamatkan pengajian sarjana etnomuzikologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang pada 2008, beliau mendapati kurang penulisan buku atau artikel mengenai Malaysia dalam bahasa Jepun sedangkan negara ini kaya dengan sejarah dan budaya yang unik.

    “Jadi, saya dengan kawan, Oto yang juga pencinta masakan Malaysia mengambil keputusan untuk menulis mengenai Malaysia. Mula-mula kami terbitkan surat khabar bersaiz kecil empat helai kemudian majalah yang kedua-duanya diterbitkan tiga bulan
    sekali.

    Aki Uehara (kiri) dan Oto Furukawa mengambil inisiatif menulis pelbagai artikel mengenai Malaysia seperti hiburan, makanan dan budaya dalam bahasa ibunda mereka sejak hampir sedekad lalu. – Bernama
    Aki Uehara (kiri) ketika bergambar bersama legenda Dondang Sayang, Datuk Mohd Baharim Mohd Sharip (tengah) dan penyanyi, Asmidar ketika menziarahi legenda itu di Melaka pada Ogos 2023. – Bernama

    “Cetakan surat khabar dan majalah ini diedarkan di restoran Malaysia, Kedutaan Malaysia dan Pejabat Pelancongan Malaysia di Tokyo serta beberapa kedai buku terpilih. Tapi pada 2022, kami sudah hentikannya dan semua penulisan artikel mengenai Malaysia dimuat naik dalam portal,” katanya.

    Menjelaskan bagaimana beliau mendapatkan bahan artikel, Aki yang bekerja sebagai jurubahasa berkata, beliau dan Oto tetap berusaha menemu ramah sumber utama atau subjek yang ingin ditulis.

    “Sumber yang ditulis perlu first hand. Sekurang-kurangnya setahun sekali kami akan pergi ke Malaysia dengan membuat penyelidikan dan temu ramah dengan sesiapa sahaja yang kami pilih berdasarkan tema penulisan. 

    “Semasa pandemik COVID-19, kami masih buat temu ramah dalam talian menggunakan Zoom. Begitu juga di sini, kalau ada penganjuran acara di Kedutaan Malaysia di sini atau apa-apa yang ada kaitan dengan Malaysia seperti Festival Filem Antarabangsa, saya akan pergi cari bahan yang boleh ditulis,” katanya.

    Bercerita lanjut, Aki berkata beliau mula menerima pendedahan tentang budaya Malaysia sejak menyertai program pertukaran pelajar selama setahun ketika berada di tingkatan lima dan ketika itu beliau ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh, Kuantan, Pahang.

    Menurutnya, beliau tinggal bersama keluarga angkat dari Kampung Felda dan komunikasi harian ketika itu sepenuhnya dalam bahasa Melayu yang memaksanya belajar sedikit demi sedikit walaupun bukan secara formal. 

    “Selepas menamat pengajian peringkat ijazah di Tokyo, saya kembali ke Malaysia untuk ambil kelas intensif bahasa Melayu di USM memandangkan ketika itu pertuturan saya dalam bahasa Melayu baik, tapi dari segi membaca masih tak boleh, jadi saya mahu kuasai kedua-duanya.

    “Namun, perjalanan saya tidak terhenti di situ, kebetulan minat dan latar belakang keluarga saya pula muzik, jadi saya sambung lagi pengajian di USM ke peringkat sarjana,” katanya.

    Sementara itu, Oto berkata beliau pernah tinggal di Malaysia selama empat tahun hampir 20 tahun yang lepas dan menjelaskan kepelbagaian makanan yang ada menyebabkan beliau telah jatuh cinta dan mengenali negara ini.

    “Makanan Malaysia terdiri daripada pelbagai hidangan seperti sate (Melayu), nasi ayam (Cina) dan kari (India) yang berkaitan dengan susur galur sesebuah kumpulan etnik.

    “Dalam kata lain, kepelbagaian juadah ialah intipati kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Jadi, saya putuskan untuk berkongsi makanan Malaysia kepada rakyat Jepun sebagai simbol kepelbagaian,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...