Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sedekah amalan raja, nikmat untuk rakyat

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Sedekah menurut al-Qur’an dan al-Hadits adalah menambah harta, bukan mengurangkan harta. Ia menolak bala, menghapus dosa, menagih doa Malaikat serta menjadi jalan membawa manusia ke Syurga.

    Perkara ini dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika menyampaikan ceramah khas bertajuk ‘Negara Kita Di tanai Dengan Sedekah’ di Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2025 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin menjelaskan, satu contoh masyhur mengenai fadilat sedekah ialah riwayat seseorang yang memberi minum air kepada seekor anjing yang hampir mati kerana dahaga, lalu Allah menilai sedekah tersebut dengan membalasnya syurga.

    “Ini baru sedekah kepada binatang, tetapi betapa besar nilainya jika sedekah diberikan kepada manusia, kepada fakir miskin, janda, anak yatim, warga emas, orang kurang upaya, atau kepada warga Gaza yang sedang berhadapan dengan bencana kebuluran dan berisiko tinggi untuk mati,” jelasnya.

    Berdasarkan fadilat sedekah itu, tegas Yang Berhormat Pehin, Majlis Ilmu tahun ini ingin melihat Negara Brunei Darussalam benar-benar di tanai dengan sedekah.

    Katanya, Brunei sememangnya ditatang, ditadbir dan diurus dengan sedekah sejak zaman awal pemerintahan, dan bukti ini dapat dilihat sejak era Sultan Brunei ketiga, Sultan Sharif Ali yang bersedekah dakwah dengan membawa rakyat memeluk Islam.

    “Baginda tidak bersedekah harta benda, tetapi lebih besar daripada itu, bersedekah dakwah, seperti Rasulullah SAW menyeru manusia kepada Islam, dan dengan sedekah inilah Brunei beroleh keberkatan luar biasa yang bertiti daripada generasi kepada generasi hingga ke hari ini,” jelasnya.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, jasa besar dua raja mutakhir, iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke-28, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan Brunei ke-29, jelas membuktikan bahawa negara ini di tanai dengan sedekah.

    YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz menyampaikan ceramah khas bertajuk ‘Negara Kita Ditanai Dengan Sedekah’ pada Majlis Ilmu 2025, hari ini. – GAMBAR RAFI ROSLI

    Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien disifatkan sebagai perintis Brunei moden dan pengasas Perlembagaan 1959 yang membawa Brunei mencapai kemerdekaan penuh.

    “Semasa hayatnya, baginda berhias dengan niat suci untuk rakyat, negara dan agama, dan melaksanakannya dengan penuh kesungguhan, dan salah satu niat sucinya ialah skim Pencen Tua Bulanan seumur hidup kepada warga emas, yang masih sahaja dinikmati sehingga kini,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, tidak ada pemimpin lain atau pakar ekonomi yang berani menggunakan wang negara untuk bersedekah kepada warga emas pada waktu itu, tetapi Alhamdulillah skim berkenaan sudah berusia lebih setengah abad dan terus dinikmati oleh rakyat hingga sekarang.

    Beralih kepada raja sekarang, jelasnya, baginda juga memiliki niat suci yang sama, dengan visi jauh untuk rakyat dan negara.

    “Bagi mendapatkan rahmat serta menjauhkan laknat, baginda telah mengislamkan undang-undang dan bersedekah amal shalih dengan mengharamkan arak”.

    Walaupun ada pandangan langkah itu merugikan, tetapi Islam menegaskan ia menguntungkan kerana menyelamatkan manusia daripada bencana penyakit, kemalangan dan kematian akibat arak.

    Selain itu, banyak lagi niat suci baginda yang dizahirkan antaranya membuka pintu subsidi, bantuan, pemedulian dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang tidak pernah ditutup.

    Sepanjang hampir 60 tahun pemerintahan, rakyat terus menikmati pendidikan dan rawatan percuma serta bebas daripada cukai pendapatan individu.

    “Rakyat tidak perlu risau tentang ‘income tax’, jika gaji lapan ribu ringgit sebulan, maka jumlah itu diterima penuh tanpa dipotong. Di negara lain rakyat mengeluh kerana cukai, tetapi di Brunei rakyat masih boleh tersenyum kerana tidak diganggu oleh ‘income tax’,” tegasnya.

    Suasana di majlis perasmian Majlis Ilmu 2025 di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini. – GAMBAR RAFI ROSLI

    Beliau turut menjelaskan bahawa skim kurnia dan subsidi adalah sedekah kerajaan kepada rakyat, kerana sedekah bermaksud pemberian percuma tanpa mengharapkan balasan.

    Berkat hasil sedekah dapat dilihat pada kedudukan Brunei sebagai negara bebas hutang, jelasnya, dan The World Economic Forum’s Global Competitiveness Report 2008 – 2009 juga meletakkan Brunei pada kedudukan teratas dalam pengurusan hutang kerajaan.

    “Negara kecil seperti Brunei, dengan hasil bumi terhad, tetap mampu bertahan tanpa hutang, sedangkan negara besar dan kaya masih dibelenggu hutang,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin menegaskan, nikmat ini bukan untuk bermegah-megah tetapi sebagai tanda syukur kepada Allah.

    “Kerana raja dan kerajaan mendisiplinkan Brunei di tanai dengan sedekah, maka berkat pun tumbuh di bumi ini iaitu berkat kemakmuran, berkat keamanan, berkat rakyat hidup bersatu padu, dan paling luar biasa Brunei terlepas daripada musibah hutang,” tegasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda