Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sedekah amalan untuk semua

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Lebih 400 orang peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan, belia, ahli akademik dan masyarakat setempat, menghadiri Forum sempena Majlis Ilmu 2025 bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Forum itu diadakan sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.

    YB Hajah Safiah yang menghadiri Forum sempena Majlis Ilmu 2025 bagi Daerah Brunei dan Muara.

    Forum itu dipengerusikan oleh Penolong Kanan Profesor dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Azme bin Haji Matali bersama tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Seri Ramizah binti Matussin, Penolong Ketua Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Awang Mohamad Sofian bin Awang Tengah dan Pegawai Ugama Pusat Da’wah Islamiah, Ustaz Mohammad Nasyith bin Superi.

    Forum sempena Majlis Ilmu 2025 di Daerah Brunei dan Muara membawa tajuk, Sedekah: Amalan Mampu Milik Semua, di mana ia memberi penekanan dan penerangan mengenai jenis-jenis sedekah melalui kupasan hadith 26 dari hadith 40 Imam Nawawi. Semasa forum itu, para ahli panel juga mengetengahkan bahawa amalan sedekah tidak terhad hanya kepada orang yang mempunyai harta atau wang ringgit sahaja, malah amalan sedekah merupakan amalan yang mampu dibuat dan boleh dilaksanakan oleh siapa sahaja.

    Antara mereka yang menghadiri Forum sempena Majlis Ilmu 2025 bagi Daerah Brunei dan Muara, hari ini. – GAMBAR-GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara iaitu Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, dan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan.

    Juga hadir, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu 2025, Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad selaku Ketua Urusetia Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara,  Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan; pegawai dan kakitangan kerajaan, para jemputan khas, penghulu mukim, ketua kampung serta majlis perundingan kampung, belia-belia masjid, muslimah; pihak swasta; pensyarah-pensyarah serta penuntut-penuntut dari institut pengajian tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda