Sedekah kunci pembuka rezeki

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Islam menggalakkan umatnya sentiasa meningkatkan usaha dalam mengerjakan amal ibadah dan membuat kebajikan namun, Islam turut tidak melarang umatnya untuk mencari kenikmatan dunia tetapi hendaklah dengan cara yang baik seperti mencari rezeki yang halal.

Khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Amalan yang Membukakan Pintu Rezeki’, hari ini, berkata walaupun rezeki masing-masing sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah SWT sejak manusia berada di dalam rahim ibu, akan tetapi, manusia perlu berusaha untuk mencari rezeki sama ada dengan berniaga, bertani, menjadi nelayan, berkhidmat dengan kerajaan atau swasta dan seumpamanya.

Kita juga diajarkan untuk memasang niat dan membetulkan tujuan untuk mencari rezeki. Jika mempunyai rezeki lebih, agama menganjurkan kita supaya bersedekah terutama kepada golongan yang memerlukan agar mendapat keberkatan.

Tambahan lagi, Islam menuntut umatnya supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan dengan berlandaskan hukum-hukum syarak seperti mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Kita juga diwajibkan untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama semasa mencari rezeki seperti perbuatan munafik, riba, rasuah dan seumpamanya. Ini kerana setiap rezeki yang diperolehi dari jalan yang salah itu boleh memberi kesan yang tidak baik kepada diri sendiri mahupun keluarga.

Khatib menjelaskan dalam agama Islam, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk membuka pintu rezeki agar menjadi luas, antaranya meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, bagi orang-orang yang bertakwa Allah SWT menjanjikan kepada mereka limpahan rezeki. Malah Allah SWT mengurniakan kepada mereka jalan keluar dari segala kesusahan dan rezeki yang tidak terlintas didalam hati.

Khatib turut berkata bahawa untuk mendapatkan rezeki, kita diajarkan supaya menjauhi perbuatan dosa kerana ia akan membuatkan hati manusia berasa resah gelisah dan menutup pintu rezeki.

Selain dari itu, antara perbuatan lain yang mampu membuka pintu rezeki itu ialah mengeratkan hubungan silaturahim. Khatib seterusnya memberikan dalil daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umur, maka hendaklah dia mengeratkan hubungan silaturahim.”

Khatib dalam khutbah Jumaat, juga seterusnya menyentuh beberapa amalan untuk mendapat rezeki yang luas adalah seperti mengamalkan sembahyang Sunat Duha, istighfar, sedekah dan memperbanyakkan membaca doa.

“Rezeki yang kita perolehi itu sebenarnya adalah milik Allah SWT dan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah berhak mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya. Oleh yang demikian, apa yang penting dalam mencari rezeki itu ialah membetulkan niat dan tujuan iaitu untuk menanggung dan mencukupkan keperluan diri sendiri dan orang-orang yang berada dibawah tanggungan kita. Oleh itu, jika ada rezeki yang lebih maka adalah lebih baik kita bersedekah kepada golongan yang memerlukan,” tegas khatib mengakhiri khutbahnya.