Ramadan sememangnya terkenal sebagai bulan bersedekah dan ini terbukti apabila anak-anak yatim dan orang berkeperluan khas, golongan daif dan asnaf tak putus-putus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak seperti yang sering dipaparkan dalam akhbar dan TV kitani.
Namun bagi peniaga, bulan ini juga merupakan bulan ‘make or break’ kata orang putih di mana rezeki mereka daripada hasil perniagaan terutama di bazar Ramadan dan ekspo sama ada berlipat ganda atau pulang dengan kerugian.
Rugi mungkin disebabkan beberapa perkara seperti makanan yang dijual tidak sedap, tiada sambutan daripada orang ramai atau makanan yang dijual terlalu mahal sehingga agak menyukarkan pihak yang berkeinginan membelinya bak kata trend sekarang, ‘harga kayangan atau harga naik haji.’
Saya dan rakan berkesempatan ke dua buah bazar Ramadan dan mendapati ada peniaga yang menjual lauk sudah tetap harganya yang agak mahal berbanding sebelumnya yang boleh sahaja dikaut dan dibeli dengan harga antara $1-$3, yang dikira agak berpatutan.
Bukannya saya dan rakan ‘karit’ tetapi berdasarkan harga bahan mentah yang sudah rendah dan sewa bazar yang tidaklah terlalu tinggi, peniaga boleh sahaja bertolak ansur.
Kasihan juga melihat pelanggan yang ada kalanya ‘langui-langui’ kemudiannya hanya berlalu pergi kerana mungkin mempunyai jumlah wang yang tidak mencukupi apa tah lagi mereka yang mempunyai keluarga besar.
Alangkah baiknya peniaga bersedekah pada bulan Ramadan ini dengan menjual makanan yang berpatutan, berbanding hanya membiarkan lauk tak terjual dan akhirnya membazir atau menjual semula makanan sama yang sudah tidak berkualiti keesokan harinya sehingga boleh memudaratkan.
Kongsi Rezeki