(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Definisi dan hukum bersedekah
Sedekah ialah pemberian semasa hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti atas dasar mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bersedekah merupakan suatu amalan sunat yang sangat dituntut dalam Islam (Sunnah Mu‘akkadah), dan boleh dikerjakan pada bila-bila masa. Sungguhpun hukum asal sedekah adalah sunat, namun ada kalanya ia menjadi haram, umpamanya jika kita mengetahui atau mengesyaki bahawa orang yang menerima sedekah itu akan membelanjakannya pada jalan maksiat.
Ada kalanya juga ia menjadi wajib, umpamanya terdapat sesuatu yang mewajibkan seseorang untuk bersedekah, misalnya apabila dia terjumpa seseorang yang benar-benar dalam keadaan sangat berhajat atau melarat dan sangat memerlukan bantuan, sedang dia pada ketika itu mempunyai harta yang melebihi daripada keperluannya yang mampu disumbangkannya sebagai sedekah.
Fadilat bersedekah
Keutamaan bersedekah itu sangat besar dan banyak. Ini jelas terbukti dengan banyaknya dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis yang menyebutkan tentang kelebihan bersedekah, antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Adiy bin Hatim Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Siapa yang berkemampuan untuk mendinding dirinya dari api neraka sekalipun hanya dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka lakukanlah”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Dalam hadis ini Rasulullah SAW menyeru umat Baginda supaya sentiasa mencari peluang untuk menyelamatkan diri daripada ditimpa azab dan kemurkaan Allah SWT.
Antara cara yang paling berkesan untuk menyelamatkan diri daripada ditimpa azab dan kemurkaan Allah SWT itu ialah dengan bersedekah.
Alangkah ajaibnya fadilat sedekah itu sehinggakan sedekah yang sedikit seperti sebelah buah kurma itu pun sudah boleh menjadi benteng yang bakal menyelamatkan diri tuannya daripada azab api neraka. Jadi apatah lagi orang yang memang menjadikan ibadah sedekah ini sebagai amalan rutinnya? Sesungguhnya Allah SWT itu Maha luas rahmat dan kurniaanNya.
Sedekah yang sedikit itu hanya sedikit pada penilaian zahir, akan tetapi tidak di sisi Allah SWT yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani hambaNya. Firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Perbandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurniaNya) Lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 261)
Dalam ayat Al-Quran di atas, Allah SWT menjanjikan bahawa sedekah yang diberikan ikhlas semata-mata kerana mengharapkan keredhaanNya itu akan dilipat gandakan pahalanya sehingga tujuh ratus kali ganda.
Jadi sebagai umat Islam yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaan Allah SWT, kita sewajarnya merebut peluang keemasan seperti ini untuk menambah himpunan pahala sebagai pemudah jalan ke syurga dan sebagai benteng daripada azab api neraka.
Sesungguhnya dalil-dalil daripada ayat Al-Quran dan hadis yang menjanjikan ganjaran-ganjaran yang sangat lumayan bagi amalan bersedekah ini sangat banyak.
Walaupun hanya dua dalil Al-Quran dan hadis yang disebutkan di sini, akan tetapi ianya sudah lebih daripada memadai untuk menggambarkan betapa besar ganjaran bersedekah itu.
Dari aspek kehidupan bermasyarakat pula, amalan sedekah ini mendidik dan menanamkan sifat prihatin, tolong menolong, berkasih sayang dan mengambil berat terhadap sesama makhluk Allah SWT.
Amalan ini membuka jalan bagi orang yang senang, mampu atau kaya membantu dan meringankan bebanan orang yang susah, kurang mampu atau miskin. Ini mendekatkan lagi silaturahim sesama insan, dan mengukuhkan lagi rasa ukhuwah dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
Waktu dan tempat yang paling afdal untuk bersedekah
Menurut ulama, waktu yang paling afdal untuk bersedekah ialah di bulan Ramadan, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan tersebut.
Menurut ulama, keutamaan bersedekah di bulan Ramadan itu adalah kerana kemuliaan bulan Ramadan itu sendiri, ditambah lagi dengan keadaan orang-orang fakir yang kekurangan tenaga untuk mencari pendapatan akibat keletihan dan kelaparan kerana berpuasa.
Diikuti pula selepas itu, afdal bersedekah pada hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain, seperti Hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dan kedua Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil ‘Adha.
Begitu juga diutamakan sedekah itu apabila berlaku suatu perkara yang besar atau penting seperti:
Berlaku peperangan, sama ada orang yang hendak bersedekah itu ikut berjuang ataupun tidak.
Ketika ibadah haji, sama ada orang bersedekah itu sendiri yang mengerjakan ibadah haji, atau ibadah haji orang-orang yang ada kaitan dengannya seperti kaum kerabat ataupun sahabatnya.
– Ketika sakit atau berlaku wabak penyakit.
– Ketika musafir.
-Setelah terlanjur melakukan perkara-perkara maksiat.
– Ketika berlaku gerhana.
– Ketika memohon supaya diturunkan hujan (Sembahyang Sunat Istisqa‘).
– Ketika musim kemarau, walaupun Sembahyang Sunat Istisqa’ belum didirikan.
Manakala dari aspek tempat yang paling afdal untuk bersedekah pula, menurut ulama, tempat yang paling afdal untuk bersedekah ialah tempat-tempat yang mulia seperti Makkah al-Mukarramah, Masjid al-Haram, Madinah al-Munawwarah dan Bait al-Maqdis.
Harus diingat di sini bahawa pemilihan waktu dan tempat yang paling utama untuk bersedekah ini bukanlah satu anjuran untuk melewatkan sedekah itu sehingga masuk bulan Ramadan atau ketika berada di Makkah al-Mukarramah atau ketika berlaku wabak penyakit atau lain-lain yang disebutkan tadi.
Bahkan amalan bersedekah itu adalah dituntut untuk disegerakan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.
Akan tetapi, ia lebih merupakan dorongan untuk memperbanyakkan sedekah pada waktu-waktu atau tempat-tempat atau perkara-perkara tersebut. Ini kerana sedekah pada waktu, tempat dan perkara tersebut lebih besar ganjaran dan faedahnya.
Kepada siapa diutamakan pemberian sedekah?
Pada dasarnya, orang-orang fakir daripada golongan yang mulia seperti ulama dan orang soleh, dan golongan yang benar-benar dalam keadaan memerlukan dan kemelaratan itu adalah lebih utama diberikan sedekah berbanding golongan yang lain, walaupun dia bukan daripada kaum kerabat atau jiran tetangga.
Jika tidak terdapat dua golongan ini, maka diutamakan sedekah itu untuk diberikan kepada golongan-golongan berikut:
Golongan yang paling utama untuk diberikan sedekah selepas dua golongan yang disebutkan tadi ialah orang yang ada pertalian saudara dengan orang yang bersedekah (kaum kerabat), walaupun kaum kerabat yang wajib ditanggung nafkahnya.
Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda kepada Zainab Radhiallahu ‘anha, isteri Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
“Suamimu dan anakmu adalah lebih berhak untuk engkau berikan sedekah kepada mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Salman bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu pula, Baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Bersedekah kepada orang miskin itu mendapat satu (pahala) sedekah, dan bersedekah kepada saudara mara itu mendapat dua (pahala): (iaitu pahala) sedekah dan (pahala) menyambung silaturahim”.
(Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa‘ie, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Darimi)
Berkenaan golongan ini, semakin dekat pertalian saudara itu, maka semakin tinggi keutamaannya untuk diberikan sedekah.
Adapun aturan keutamaan pemberian sedekah bagi golongan kaum kerabat ini, sepertimana yang disebutkan oleh ulama Mazhab asy-Syafi‘e adalah seperti berikut:
Kaum kerabat daripada mahram. Menurut ulama, tidak ada beza dari segi keutamaan dalam ikatan mahram itu sama ada dari pihak sebelah bapa ataupun sebelah ibu, bahkan kedua-duanya itu adalah sama.
Suami atau isteri.
Kaum kerabat daripada bukan mahram seperti sepupu.
Kaum kerabat yang ada ikatan mahram kerana susuan (saudara susuan).
Kaum kerabat yang ada ikatan mahram kerana perkahwinan, seperti mertua, menantu, mak tiri atau anak tiri.
Menurut ulama Mazhab asy-Syafi‘e, adalah lebih afdal diberikan sedekah itu kepada kaum kerabat yang terdapat perseteruan dengannya berbanding kaum kerabat yang lain. Semakin kuat perseteruan itu maka semakin afdal diutamakan pemberian sedekah itu kepadanya. Dengan syarat, pemberian sedekah kepadanya itu tidak dikhuatiri akan menambah persengketaan atau mendatangkan kemudaratan.
Di sini sangat jelas cantiknya ajaran ugama Islam itu. Ini kerana perbuatan bersedekah kepada seteru ini boleh membantu memadamkan api kemarahan, melawan rasa ego, menghilangkan sakit hati dan rasa kebencian. Seterusnya ini sekaligus akan membantu mendamaikan perbalahan serta permusuhan di antara kedua belah pihak.
Selepas kaum kerabat, golongan yang diutamakan untuk diberikan sedekah ialah jiran. Semakin dekat rumah jiran itu, maka semakin layak dan semakin utama untuk diberikan sedekah kepadanya.
Ini sepertimana sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW yang maksudnya:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai dua jiran, maka kepada siapakah di antara keduanya yang (sepatutnya) ku berikan hadiah?”
Lalu Rasulullah SAW pun menjawab:
“(Berikanlah) kepada siapa di antara keduanya yang lebih dekat pintu (rumah)nya denganmu”. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, kaum kerabat yang tinggal jauh, tetapi masih di dalam negeri orang yang bersedekah itu adalah lebih diutamakan daripada jiran yang tiada hubungan kerabat. Bagaimanapun, jika kaum kerabat itu berada di luar negeri, maka dalam hal ini jiran adalah diutamakan.
Demikianlah beberapa penerangan mengenai waktu dan tempat yang paling afdal untuk bersedekah dan siapakah orang yang lebih utama menerimanya.
Secara ringkasnya, sedekah itu sunat disegerakan pada bila-bila masa, akan tetapi ia afdal diperbanyakkan pada waktu-waktu yang dibesarkan atau di tempat-tempat yang dimuliakan ataupun apabila berlaku perkara-perkara yang besar dan penting. Manakala dari segi penerima sedekah pula, sedekah itu lebih utama diberikan kepada orang fakir daripada golongan-golongan yang mulia atau yang sangat memerlukan bantuan.
Jika tiada, maka adalah lebih diutamakan kaum kerabat berban-ding yang lainnya dengan mengutamakan orang yang paling dekat pertalian saudara antara mereka mengikut aturan yang telah disebutkan sebelum ini. Begitu juga lebih afdal diberikan sedekah itu kepada kaum kerabat yang terdapat perseteruan dengannya berbanding kaum kerabat yang lain. Selepas kaum kerabat, maka diutamakan jiran sebelum orang lain dengan mendahulukan yang paling dekat pintu rumahnya.