Sedia hidangan bufet antara kesalahan dikompaun

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Tujuh buah premis perniagaan telah didapati tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan dan dikenakan kompaun berjumlah $2,000 keseluruhannya semasa Operasi Merati yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 27 Julai hingga 2 Ogos di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

Antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan kompaun adalah tidak memakai penutup mulut dan hidung bagi pengendali makanan, tukang gunting rambut serta salon kecantikan, tidak ada pensanitasi tangan dan menyediakan hidangan secara bufet.

Operasi berkenaan melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan di mana sebanyak 72 buah premis perniagaan telah diperiksa iaitu sebanyak 21 buah premis makanan, tiga buah kafe Internet, 42 buah gerai, empat buah kedai gunting dan dua buah kedai kecantikan dan kesihatan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan bahawa operasi berkenaan dijalankan di premis perniagaan di Serusop, Batu Bersurat, Gadong, Kiulap dan Mabohai bagi Daerah Brunei Muara; Gerai Bunga Simpur di Daerah Belait; Kompleks Sri Aman, Kampung Telisai di Daerah Tutong serta Padang Dewan Belalong, Kampung Rataie bagi Daerah Temburong. Kenyataan menyatakan lagi bahawa Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah memberikan nasihat kepada pelanggan-pelanggan premis untuk menggunakan aplikasi BruHealth semasa mengunjungi premis dan memberikan teguran kepada pelanggan-pelanggan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti penjarakan fizikal semasa berada dalam premis perniagaan.

Kementerian Kesihatan sekali lagi mengingatkan orang ramai, terutama sekali bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya serta terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah pencegahan penularan COVID-19.