Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sedia pertahan kelebihan

    MILAN, 20 OKT – AC Milan akan mempertahankan kelebihan dua mata dalam Serie A pada malam Ahad apabila mereka berdepan dengan Juventus, satu perlawanan besar yang mengancam akan diselubungi oleh skandal perjudian yang menjejaskan dunia bola sepak Itali.

    Dilanda oleh laporan bahawa bekas bintang tengah, Sandro Tonali, telah berjudi pada perlawanan AC Milan ketika masih bermain untuk pasukan yang disokongnya sejak kecil, juara Eropah tujuh kali itu akan cuba mengekang pesaing tempatan dan pencabar terdekat, Inter Milan yang akan berdepan dengan Torino esok.

    Tonali, kini bermain untuk Newcastle United, pasti akan dijatuhkan hukuman yang panjang di peringkat antarabangsa, manakala Fabrizio Corona, yang pernah dipenjarakan kerana memeras ugut, telah diancam dengan tindakan undang-undang selepas turut menuduh penyerang Roma, Stephen El Shaarawy dan pertahanan Lazio, Nicolo Casale, berjudi pada perlawanan.

    “Dia tidak pernah berjudi dan tidak berminat untuk berbuat demikian,” kata pasukan undang-undang El Shaarawy, sambil menambah bahawa tuduhan itu ‘sama sekali tidak berasas dan berunsur fitnah’.

    Sementara itu, jurulatih Milan, Stefano Pioli menghadapi masalah kerana beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan akibat kecederaan atau penggantungan dan perlu memilih penjaga gol pilihan ketiganya, Antonio Mirante untuk ujian besar bagi menguji potensi pasukan Milan dalam merebut gelaran.

    Penjaga gol Perancis, Mike Maignan digantung kerana kad merah pada penghujung kemenangan 1-0 di Genoa sebelum rehat antarabangsa, dan pada Khamis Marco Sportiello mengalami kecederaan betis yang berkemungkinan akan menghalangnya daripada beraksi sekurang-kurangnya satu bulan.

    Turut digantung ialah bek kiri, Theo Hernandez manakala Ruben Loftus-Cheek dan Rade Krunic akan meneruskan ketiadaan me-reka di bahagian tengah akibat kecederaan.

    Namun, Pioli akan dapat bergantung kepada Olivier Giroud, yang akan kembali ke posisi utamanya sebagai penyerang tengah selepas tampil cemerlang sebagai penjaga gol di Genoa susulan Maignan dibuang padang. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...