Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN – Dalam era globalisasi yang giat berubah dari semasa ke semasa, mendapatkan pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah, di mana para graduan perlu mengadaptasi diri mereka dengan Revolusi Industri 4.0 yang sememangnya tidak asing lagi kepada seluruh dunia.
Hal ini juga tidak terkecuali bagi mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama di mana mereka mengadaptasinya melalui pembelajaran serta pengajaran yang selaras dengan arus kemodenan dunia.
Namun, dengan berlatarbelakangkan pendidikan Islam bukanlah penghalang bagi mereka dalam mendapatkan kerjaya selepas menamatkan pengajian kerana Islam dapat diadaptasi di dalam semua peringkat zaman.
Selain itu, pada tahun ini, Brunei Darussalam telah menerima kritikan yang hebat mengenai undang-undang Syariah yang dikuatkuasakan, namun undang-undang tersebut disokong bagi mereka yang memahaminya dengan betul-betul, tidak terkecuali ialah para graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang sememangnya mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Islam yang mendalam.
Beberapa graduan UNISSA yang telah menerima ijazah pada hari ini telah berkongsi pendapat mereka sendiri mengenai kerjaya selepas menamatkan pengajian mereka dan bagaimana mereka akan dapat meredah atau menempuh situasi yang dihadapi di seluruh dunia masa kini.




Awang Mohd Didi Sofian bin Haji Masri, salah seorang graduan UNISSA dari Fakulti Usuluddin, berkata bahawa walaupun belum memperoleh pekerjaan pada masa ini, beliau akan berusaha untuk memanfaatkan ijazah yang diperoleh untuk mencari pekerjaan yang sesuai tidak kira dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
“Apa yang penting ialah kemahuan dan keinginan kita untuk terus meraih kejayaan dalam apa jua pekerjaan tatkala kini kita berhadapan dengan persaingan dalam bidang pekerjaan dan kesukaran untuk mencari pekerjaan. Jadi yang penting tidak memilih kerja,” kongsi Mohd Didi Sofian.
Awang Mohd Didi Sofian juga menyentuh mengenai Revolusi Industri 4.0 yang sememangnya tidak asing lagi.
“Sudah pasti ia akan menjadi satu perubahan yang perlu diadaptasi dalam kehidupan penduduk di negara ini. Jadi tidak kiralah dalam pendidikan agama, ia juga dapat diadaptasikan melalui pembelajaran serta pengajaran dalam menjulang lagi kedaulatan agama Islam seiring dengan arus kemodenan dunia,” jelasnya.
Menyentuh mengenai undang-undang syariah, beliau berpendapat bahawa ia adalah sesuatu yang sangat bermanfaat bagi kemaslahatan penduduk dan ia jelas menunjukkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri sangat menitikberatkan keselamatan dan keperluan penduduk dengan mengaplikasikan undang-undang tersebut di negara ini.
Awang Mohd Didi Sofian menyarankan kepada generasi baharu agar sentiasa mengorak langkah untuk mencapai kejayaan sejak di awal usia mereka kerana permulaan corak kehidupan yang baik akan membentuk kejayaan sekali gus dapat menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih baik dan menjadi insan yang berguna untuk negara, agama dan bangsa.
Dayangku Rabiatul Adawiyah binti Pengiran Rakawe@Pengiran Qawi, gra-duan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Fiqah dan Kehakiman) juga menyedari bahawa pasaran pekerjaan pada masa ini lebih mencabar di mana para graduan perlu bersaing dengan lebih kompetitif untuk sesuatu pekerjaan, tambahan lagi dengan kadar pengangguran di Brunei pada masa ini yang sangat tinggi iaitu 9.3 peratus.
Menurut beliau, para graduan seharusnya berfikiran di luar kotak dengan melihat peluang pekerjaan bukan sahaja di dalam negara malahan peluang pekerjaan harus juga diterokai di luar negara.
Menyentuh mengenai Revolusi Industri 4.0, Dayangku Rabiatul Adawiyah berpendapat bahawa ia memerlukan ciri-ciri manusia yang dinamik yang boleh beradaptasi dengan perubahan yang cepat dan di luar jangkaan.
Walau bagaimanpun beliau berkata bahawa telah jelas diterangkan di dalam Al-Quran bahawa sudah terang lagi bersuluh yang Al-Quran itu sesuai dalam semua peringkat zaman.
“Ini akan lebih memudahkan graduan seperti saya mengikuti perkembangan dan pergolakan industri yang tidak dapat dijangkakan ini dengan lebih terkawal dan terpandu kerana diri kami sudah ditanamkan jati diri yang kuat berasaskan Islam dengan calak-calak Brunei yang tersendiri.
Salah seorang graduan Sarjana dalam Syariah, Dayang Noramalina binti Khairul Anuar, juga tidak ketinggalan dalam mengongsi pendapat beliau tentang pasaran pekerjaan pada masa kini.
“Tidak dinafikan peluang untuk mendapatkan pekerjaan amatlah sukar kerana setiap tahun UNISSA melahirkan ramai graduan yang berpotensi apatah lagi kerja yang menepati dengan jurusan yang diambil,” katanya yang pada masa ini bekerja di JobCentre Brunei sebagai pegawai kewangan i-Ready.
Menurut Dayang Normalina mengenai Revolusi Industri 4.0, bidang agama juga tidak ketinggalan dalam mengikuti perubahan semasa selagi mana tidak terpesong dengan ajaran Islam yang berpandukan Al-Quran dan sunnah.
Menyentuh mengenai undang-undang Syariah, beliau berpendapat bahawa ia adalah undang-undang yang sempurna.
“Hukuman yang dikenakan juga selari dengan ajaran Islam. Sebahagian orang berpendapat bahawa undang-undang ini tidak sesuai diguna pakai kerana telah melanggar hak asasi manusia. Padahal hukuman yang terdapat dalam undang-undang Syariah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan yang menyalahi dan bertentangan dengan agama Islam,” tekannya.
Dayang Noramalina menyarankan kepada generasi muda terutama kepada pelajar-pelajar UNISSA agar terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing sama ada dari segi pendidikan mahupun bidang pekerjaan.
“Sentiasalah mencari ilmu itu tanpa ada batasan dan gigih berusaha untuk menyelesaikan segala kerja yang diberikan. Pelajar juga harus pandai membahagikan masa dan yang paling penting adalah sentiasa menghormati ibu bapa dan minta doa restu daripada mereka,” jelasnya.
Awang Mohammad Bahauddin bin Haji Abu Bakar, seorang graduan Sarjana Muda Bahasa Arab UNISSA juga berpendapat bahawa pasaran pekerjaan pada masa ini diakui memang susah namun ia bukan penghalang kepada mereka sebagai graduan untuk tidak berusaha dan mudah berputus asa.
“Dengan adanya cabaran seperti ini, menjadikan kami lebih kreatif untuk mencari mana-mana peluang yang ada, dan saya sendiri pada masa ini sedang melanjutkan pembelajaran saya di peringkat sarjana,” jelasnya.
Menyentuh mengenai Revolusi Industri 4.0, Awang Mohammad Bahauddin mengatakan bahawa selama tempoh pengajian mereka di UNISSA juga telah sedikit sebanyak mempelajari dan mengikuti kursus-kursus yang selari dengan Revolusi Industri 4.0 dan beliau akan mendalaminya dan aplikasikan untuk beradaptasi dengan keadaan semasa.
“Mengenai Undang-undang Syariah yang diperkenalkan pula, saya amat menyokong pelaksanaan ini yang mana kita sebagai anak bangsa juga perlu bersatu padu antara satu sama yang lain ke arah kebajikan, lebih-lebih lagi menegakkan syariat Islam di Negara Brunei Darussalam,” jelasnya lagi.
Beliau juga berharap kepada semua agar tidak berhenti menuntut ilmu dan selalu menguatkan semangat dan jangan mudah berputus asa dengan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi.