SEOUL, 21 OGOS – Amerika Syarikat (AS) sedia untuk berbincang bersama Korea Utara mengenai rundingan nuklear peringkat kerja yang lama tertangguh, kata utusan AS hari ini.
Perbincangan nuklear antara Washington dan Pyongyang telah tertangguh sejak sidang kemuncak kedua di Hanoi pada Februari yang berakhir tanpa persetujuan berhubung perbezaan takat pelucutan senjata nuklear dan peringanan sekatan sebagai balasan.
Namun jangkaan dialog diperbaharui itu sering ditimbulkan selepas AS dan sekutu keselamatannya Korea Selatan menamatkan latihan ketenteraan dua minggu mereka kelmarin.
“Kami bersedia untuk terlibat sebaik saja kami mendengar persetujuan daripada rakan sejawat di Korea Utara,” kata Stephen Biegun, perwakilan khas AS bagi Korea Utara, selepas mesyuaratnya bersama rakan sejawatan Korea Selatan, Lee Do-hoon di Seoul.
Komen itu muncul di tengah-tengah spekulasi yang pihak Amerika boleh berjumpa dengan pihak Korea Utara di zon bebas tentera yang memisahkan Utara dan Selatan untuk memulakan rundingan peringkat kerja semasa lawatan Biegun selama tiga hari di Seoul, yang bermula kelmarin.
Utusan AS menafikan laporan media yang dia tidak lama lagi akan mengambil tugas diplomatik di Rusia, berkata dia tetap ‘fokus pada perkembangan terkini’ bersama Korea Utara dan ‘sepenuhnya komited’ pada matlamat pelucutan senjata nuklear di Utara.
Pyongyang menganggap latihan ketenteraan bersama oleh sekutu-sekutu berkenaan adalah latihan bagi serangan dan sering meluahkan kemarahan pada latihan perang.
Latihan itu adalah ‘provokasi serius tentera’ dan ‘cabaran dan ejekan kepada usaha perdamaian kami’, menurut akhbar rasmi Korea Utara, Rodong Sinmun hari ini dalam ruangan komentar. – AFP
