Tuesday, October 1, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sediakan laluan kepada belia sertai ABDB

    Oleh Sim Y. H –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Kementerian Pertahanan dan pihak yang berkepentingan dalam negara disarankan untuk bekerjasama menyiapkan laluan bagi kalangan belia yang berminat untuk berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyarankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) ke-63 di Padang Kawad Institut Latihan (IL) ABDB, Penanjong Garison, kelmarin.

    “Dari sudut pengambilan anggota tentera pula, Beta mahu ABDB akan memberikan tumpuan dan penelitian mendalam.

    “Beta difahamkan terdapat cabaran bagi mencapai jumlah anggota tentera yang diperlukan setiap tahun, khususnya bagi Sekolah Pegawai Kadet IL ABDB dan Kompeni Rekrut IL ABDB.”

    Pada 2023, titah Baginda, pemohon yang lulus pemilihan mengikut kuota disediakan di Sekolah Pegawai Kadet cuma sebanyak 57 peratus sahaja manakala 78 peratus pula bagi Kompeni Rekrut.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan HUT ABDB ke-63, Sabtu lalu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Cabaran atau trend ini jika berterusan, akan menjejaskan penstrukturan ABDB ke arah matlamat Gagasan Angkatan 2035.”

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah, ABDB terus berkembang pesat dengan perkembangan positif mengikut perancangan khususnya perancangan bagi 2023 dan 2024 di mana antaranya berupa penstrukturan Unit Jentera Tempur menjadi Rejimen Jurutera (Engineer Regiment) Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), pentauliahan kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), KDB AS-SIDDIQ dan KDB AL-FARUQ dan pengenalan aset baharu iaitu unmanned underwater vehicle (UUV).

    “Sementara itu, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) pula telah menerima dua buah daripada empat buah pesawat angkut C-295MW dan Insya-Allah, dalam masa terdekat juga akan menerima pesawat helikopter tempur baharu bagi menggantikan pesawat
    Bolkow BO-105.”

    Selain itu, Markas Angkatan Bersama ABDB juga akan menaik taraf keupayaan sistem C41-Star, titah Baginda lagi.

    “Beta penuh yakin bahawa, dengan terus fokus dan komited, maka apa jua yang dirancang akan tercapai, dengan Kementerian Pertahanan dan ABDB berupaya menjadi teladan terbaik kepada kerajaan Beta dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan projek yang telus, jujur dan berkesan.”

    Baginda Sultan seterusnya bertitah, ABDB telah berjaya mengembangluaskan lagi diplomasi pertananannya melalui kerjasama dengan angkatan tentera negara-negara sahabat di peringkat ASEAN, serantau dan antarabangsa.

    “Dengan wujudnya hubungan erat antara ABDB dengan angkatan tentera sahabat di rantau ini khasnya dan antarabangsa amnya akan dapatlah memantapkan lagi keupayaan dan persefahaman melalui kegiatan eksesais dan aktiviti dua hala serta pelbagai hala.”

    Persembahan Solidarity Jump daripada unit elit atau pasukan khusus 11 buah angkatan bersenjata negara-negara sahabat yang memeterai memorandum persefahaman dengan ABDB serta pameran industri pertahanan daripada 20 buah negara, jelas mencerminkan terjalinnya perpaduan dan diplomasi pertahanan yang kukuh, tekan Baginda Sultan.

    “Keceriaan acara sambutan HUT ke-63 ini turut diwarnai dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan dan anggota dari Royal Guards Special Force, Bahrain Defence Force yang sedang membuat latihan bersama Exercise Hamad Storm dengan Rejimen Pasukan Khas
    ABDB di negara ini.”

    Baginda Sultan turut menzahirkan perasaan gembira atas kehadiran dan keterlibatan penuh semangat anggota Persatuan Bekas Perajurit ABDB (PERWIRA).

    “Beta ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan sumbangan yang berterusan kepada negara walaupun telah bersara daripada perkhidmatan.

    “Tahun ini juga merupakan ulang tahun penubuhan Kementerian Pertahanan yang ke-40 tahun dan dalam masa empat dekad itu, alhamdulillah Kementerian Pertahanan telah berjaya mengemudi dengan baik ABDB,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda