BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Pelari tempatan, Awang Sefli Ahar muncul juara bagi Cabaran Ultra Trail 100km yang pertama kali diadakan oleh Beach Bunch hujung minggu lepas, cabaran larian itu juga diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33. Manakala cabaran larian sejauh 50km dan 30km juga diadakan secara serentak.
Cabaran Ultra Trail tersebut sememangnya memberikan banyak cabaran kepada para pelari seperti hujan lebat, bukit becak, terik matahari dan laluan berpasir di pantai.
Awang Sefli Ahar menamatkan cabaran 100km itu dengan catatan masa 12:07:17. Beliau menyatakan bahawa ia merupakan percubaan pertamanya dalam cabaran 100km.
Manakala di tempat kedua disandang oleh Wan Ho Yuen dari Hong Kong dengan catatan masa 13:46:46 dan tempat ketiga dimenangi oleh pelari tempatan Chung Ming dengan mencatatkan masa 15:57:30.
Bagi Kategori Wanita 100km pula dimenangi oleh Ruth Theresia dari Indonesia dengan catatan masa 17:53:30, diikuti oleh pelari adik-beradik dari Malaysia, Jassica Lintanga Pado dan Adelinah Lintanga dengan masing-masing mencatatkan masa 19:42:16 dan 20:42:57.


Dalam Kategori Lelaki 50km, dua pelari tempatan Awang Mohd Norrisman Ismail dan Awang Mohd Nazrul Effendy bin Ali Hassan Jambul masing-masing meraih tempat pertama dan kedua dengan catatan masa 05:05:25 dan 05:14:12. Manakala di tempat ketiga diraih oleh David Smith dengan masa 05:45:37.
Bagi Kategori Wanita 50km pula, Tahira Najmunisaa dari Malaysia meraih tempat pertama dengan catatan masa 05:41:15, diikuti oleh Margaret Rait dari UK dan Norhani Mohd Jaffar dari Malaysia.
Tiga pelari tempatan mendominasi tiga kedudukan teratas dalam Kategori Lelaki 30km, dengan tempat pertama disandang oleh Awang Mohammad Samsul Zamri dengan mencatat masa 02:13:59, tempat kedua dimenangi oleh Awang Razali Sabli dan Awang Sahminan Haji Mohamad Salleh pula di menduduki tempat ketiga.
Bagi Kategori Wanita 30km pula menyaksikan pelari tempatan, Yenny Muslimm muncul juara menewaskan Vanessa Lobb dari Ireland, tempat kedua, dan Claire Russel dari UK yang terpaksa akur berada di tempat ketiga.
Turut menjayakan acara cabaran larian tersebut adalah sukarelawan-sukarelawan dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rizal dan Volunteer First Aid Support Team (VFAST).
Beach Bunch juga turut mengucapkan terima kasih atas sokongan daripada para penaja Royal Brunei (RB), DT, Ultron, Marathon Shop, Marathon Baker, TriUltra, Tailwind, dan Ultron serta rakan catatan masa rasmi cabaran larian, RaceMatix.