TOKYO, 10 MEI – Sega Sammy menjual kompleks resortnya Seagaia kepada Fortress Investment Group dari Amerika Syarikat (AS), kata syarikat pembuat permainan video Jepun itu hari ini.
Sega Sammy Holdings yang berpangkalan di Tokyo, syarikat di sebalik permainan video Sonic the Hedgehog, berkata ia akan menjual semua sahamnya dalam Phoenix Resort Co., yang mengendalikan Seagaia di Miyazaki, daya Jepun. Syarat kewangan perjanjian itu tidak didedahkan.
Langkah itu, yang diluluskan oleh lembaga pengarah Sega Sammy, akan menghasilkan keuntungan kira-kira 8.5 bilion yen (AS$55 juta) dalam pendapatan luar biasa untuk tahun fiskal hingga Mac 2025.
Fortress yang berpangkalan di New York telah dipilih kerana pengalamannya memperoleh 176 hotel sejak 2011, menurut Sega Sammy dalam satu kenyataan.
Juga pada hari ini, Sega Sammy melaporkan keuntungannya jatuh pada tahun fiskal yang berakhir pada Mac, kepada 33 bilion yen (AS$212 juta), daripada 45.9 bilion yen tahun sebelumnya. Jualannya meningkat 20 peratus kepada 467.8 bilion yen (AS$3 bilion).
Sega Sammy mempunyai pelbagai produk hiburan termasuk permainan video Persona 3 Reload dengan 1 juta muat turun selepas pelancarannya, Angry Birds yang masih popular, Like a Dragon, ‘pachislot’ iaitu sebuah mainan dan mesin pachinko, dan harta intelek dalam karya animasi.
Syarikat itu juga bergantung pada hasil pelesenan watak Sonic melalui permainan dan filem, sektor yang telah berkembang 10 kali ganda dalam tempoh lima tahun yang lalu.
Walaupun operasi resort Sega Sammy baru-baru ini kembali menguntungkan, mereka menderita kerana sekatan pergerakan semasa pandemik.
Dengan serahan Seagaia kepada Fortress, Sega Sammy berhasrat memberi lebih tumpuan kepada kekuatan terasnya seperti permainan video. – AP
