Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Segak dengan kombinasi warna pakaian

    Tidak dinafikan sesetengah lelaki sememangnya agak jahil dalam memilih padanan warna yang sesuai untuk pakaian mereka.

    Berbeza dengan kaum wanita di mana mereka lebih cerewet dan peka dengan sebarang padanan warna, lelaki pula kadang-kadang terlalu mengambil remeh akan perkara ini.
    Akhirnya bila padanan tidak sesuai, ia akan nampak janggal dan langsung tidak menarik. Lebih mendukacitakan lagi ia boleh merosakkan tema majlis.

    Perkara pertama awda perlu lakukan ialah pemilihan warna kerana ia memainkan peranan sangat penting bukan sahaja dalam penggayaan fesyen malah penampilan diri. Seorang lelaki yang ingin tampil yakin bergaya perlulah peka dengan pemilihan atau memadankan kombinasi warna yang baik.

    Bukan sahaja nampak lebih kecak malah ia membuatkan seorang lelaki itu tampil mudah didekati dan mempunyai cita rasa yang baik.

    Kombinasi warna pakaian yang terbaik bergantung kepada pelbagai faktor termasuk konteks acara, gaya peribadi dan warna kulit. Berikut dikongsi beberapa kombinasi warna yang sering dianggap sesuai dan menarik dalam pakaian lelaki.

    Pemilihan warna berperanan penting bukan sahaja menjadikan seorang lelaki tampil yakin malah bergaya. – maskulin.com
    Gambar Envato

    BIRU GELAP DAN PUTIH

    Kombinasi biru gelap dengan putih pilihan klasik yang sentiasa relevan sepanjang zaman. Ia memberikan penampilan nampak kemas dan elegan. Contohnya padanan kemeja putih dengan seluar biru gelap atau sebaliknya.

    HITAM DAN PUTIH

    Mudah dan ringkas. Inilah padanan paling umum boleh awda pilih. Kombinasi hitam dan putih adalah memberikan kontras yang cantik dan sentiasa bergaya. Boleh dipakai dalam pelbagai gaya pakaian, sama ada formal atau kasual.

    KELABU DAN PUTIH

    Ramai tidak tahu bahawa kelabu merupakan warna yang sangat versatil dalam fesyen. Ia adalah warna yang serba boleh dan sering kali dipadankan dengan putih untuk memberikan tampilan yang bersih dan teratur.

    BIRU GELAP DAN KUNING

    Kombinasi biru gelap dengan warna kuning keemasan mampu memberikan sentuhan keceriaan dan gaya yang menonjol.

    COKLAT DAN KRIM

    Satu lagi kombinasi yang cukup elegan. Kombinasi coklat dengan krim atau kuning air memberikan kesan yang hangat dan kasual serta sesuai untuk suasana santai.

    HIJAU ZAITUN DAN COKLAT TUA

    Tidak salah jika kita katakan padanan atau kombinasi dua warna ini paling tegas dan nampak maskulin. Warna hijau zaitun memberi kontras dengan coklat tua.

    MERAH MARUN DAN BIRU

    Padanan merah marun dengan biru memberikan kombinasi yang menarik dan memberikan keceriaan kepada pemakainya.

    Ia tidaklah terlalu terang tapi dalam masa yang sama ada karakter tersendiri.

    BIRU LAUT DAN MERAH

    Kombinasi biru laut dengan warna merah pula memberikan kesan nautika yang segar dan menarik.

    Memilih padanan warna sesuai perlu juga untuk mengambil faktor agar ia sesuai
    dengan jenis acara, suasana dan gaya peribadi awda.

    Selain itu, memahami kontras warna dan memastikan pakaian awda bersih serta terjaga juga adalah faktor penting untuk mencapai penampilan yang menawan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda