Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Penguatkuasaan Pelekat Pas Kenderaan Daftar Luar Negara bagi mengawal kenderaan-kenderaan luar negara yang berada di Negara Brunei Darussalam semasa pandemik COVID-19 ini akan bermula setelah tamat tempoh ‘grace period’ untuk membuat permohonan selama dua minggu daripada tarikh pemakluman mengenai penguatkuasaannya pada 1 Oktober lalu.
Oleh itu, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, mengingatkan para pemilik atau pemandu kenderaan daftar luar negara untuk segera mendapatkan pelekat berkenaan.
JPD menyatakan bahawa kenderaan-kenderaan yang dikehendaki untuk dilekatkan dengan Pelekat Pas Kenderaan Daftar Luar Negara ialah kenderaan-kenderaan berdaftar di luar negara yang telah mendapat kebenaran pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk menetap di negara ini kerana bertugas atau bagi tujuan seumpamanya.
Selain itu, kenderaan-kenderaan luar negara yang memasuki negara ini bagi tujuan pengangkutan barangan-barangan pertanian, agrimakanan dan perikanan dengan kebenaran dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Kenyataan menyatakan lagi bahawa pemilik-pemilik atau pemandu kenderaan daftar luar negara berkenaan bolehlah mendapatkan pelekat pas kenderaan yang dimaksudkan melalui aplikasi mudah alih TransportBN bagi versi iOS dan Android atau melalui laman sesawang JPD iaitu www.jpd.gov.bn.
Pelekat pas itu hendaklah dilekat di cermin belakang kenderaan atau di cermin tingkap sebelah kiri sisi penumpang depan.
Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa tujuan utama penguatkuasaannya adalah sebagai salah satu langkah pengawalan kenderaan-kenderaan daftar luar negara yang berada di negara ini semasa pandemik COVID-19 yang masih berlaku pada masa ini.
JPD turut mengingatkan bahawa mana-mana kenderaan daftar luar negara yang berada di dalam negara ini tanpa pelekat pas kenderaan berkenaan adalah melakukan satu kesalahan.
Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan akan diambil tindakan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau boleh didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Kenyataan menyatakan bahawa bagi sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi talian kecemasan pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui talian 993, Talian Darussalam 123, melalui aplikasi WhatsApp Talian Darussalam 8333123 atau melayari laman sesawang www.123.gov.bn dengan menyertakan gambar-gambar kenderaan yang terbabit.
Mereka yang mempunyai pertanyaan dan ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh mendapatkannya daripada JPD melalui talian 2384561 dan e-mel info_ltd@jpd.gov.bn.