Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Seiring dengan perkembangan teknologi dalam perkhidmatan kewangan, pelbagai risiko juga tidak dinafikan turut berkembang.
Baru-baru ini, terdapat peningkatan dalam penipuan malware melalui telefon pintar, mesej pancingan data (phishing) dan penipuan pembayaran dalam talian di rantau ini termasuk di Negara Brunei Darussalam.
Oleh yang demikian, sebagai usaha bagi mengatasi ancaman siber dan melindungi pengguna-pengguna kewangan, institusi-institusi kewangan secara berterusan mengambil langkah-langkah untuk memperkukuhkan sistem perbankan masing-masing bagi mengelakkan pencerobohan data.
Sehubungan itu, pengguna kewangan memainkan peranan besar dalam menjaga keselamatan data peribadi serta memperkukuhkan peranti masing-masing.
Dengan kerjasama institusi kewangan dan pengguna kewangan, pertahanan yang kuat dan kukuh boleh dibina untuk menentang risiko kecurian maklumat dan kerugian kewangan, serta memastikan kita sentiasa selamat dalam talian.

Dalam siri artikel bahagian empat kali ini, BDCB telah mengongsikan beberapa tip dan nasihat untuk meningkatkan perlindungan daripada penipuan digital dengan menjadi pengguna kewangan dalam talian yang bertanggungjawab.
Artikel kali ini membincangkan tindakan yang perlu diambil jika menghadapi serangan siber atau menemui transaksi yang mencurigakan dalam akaun.
Jika mendapati perkara itu berlaku, putuskan sambungan dalam talian dengan menutup semua rangkaian seperti WiFi, rangkaian telefon, LAN atau Bluetooth pada alat peranti yang terjejas.
Di samping itu, gunakan alat peranti yang selamat untuk menukar semua kata laluan akaun dalam talian, terutama akaun e-mel dan akaun membeli-belah dalam talian yang berkaitan dengan akaun bank.
Bagi meringankan potensi risiko, kesedaran awda perlu ditingkatkan dan tindakan segera perlu diambil seperti membuat laporan kepada bank dengan menghubungi talian rasmi bank, pusat aduan pelanggan atau kunjungi cawangan yang terdekat dengan kadar segara.
Berikan maklumat penuh mengenai aktiviti yang mencurigakan untuk membantu dalam penyiasatan dan buat laporan kepada pihak polis jika perlu.

