Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Berlalu bulan Ramadan bukan bermakna patahnya harapan dan semangat bagi para pencari redha Allah.
Segala amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan boleh saja dilanjutkan hingga pada bulan-bulan selepasnya. Amalan membaca al-Qur’an, bersedekah, membantu keperluan anak yatim dan sebagainya janganlah terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadan. Ganjaran pahalanya tetap ada, walau gandaan pahala atau ganjarannya tidaklah menyamai seperti di bulan Ramadan.
Namun antara semua perkara yang tidak boleh diabaikan apabila berlalunya bulan Ramadan adalah untuk melunaskan sejumlah puasa Ramadan yang terluput jangan sampai datang pula bulan Ramadan tahun yang seterusnya sehingga menyebabkan seseorang itu terpaksa mengeluarkan fidyah kerana kelalaiannya dalam mengqadha puasa Ramadan yang ditinggalkannya.
Mengqadha puasa Ramadan satu kewajipan
Puasa Ramadan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha sebanyak hari yang ditinggalkan tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran syarak.
Puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran syarak seperti perempuan yang didatangi haidh atau disebabkan sakit tidaklah wajib diqadha dengan segera. Walau bagaimanapun sunat baginya mengqadha dengan segera kerana perkara ini lebih baik sebagai tujuan berjaga-jaga dan berhati-hati.

Perlulah diingat adalah berdosa hukumnya bagi orang yang melengah-lengahkan qadha puasa Ramadan sehingga masuk ke bulan Ramadan yang baru tanpa ada keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadhanya seper-ti sakit yang berpanjangan. Selain itu adalah harus baginya melakukan qadha puasa itu dengan berselang-seli harinya. Namun begitu sunat baginya mengqadha hari puasa yang ditinggalkannya secara berturut-turut.
Manakala bagi orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran syarak adalah diwajibkan mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu dengan segera.
Kerana sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja adalah fasik, dan wajib ke atasnya bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefasikan itu. Tidaklah sah taubatnya itu melainkan jika dia mengqadha kesemua puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu. Jika dia melengah-lengahkan qadha puasa itu tanpa keuzuran, nescaya dia berterusan dalam kefasikan. Berterusan dalam kefasikan itu merupakan suatu dosa.
Hari-hari yang dibolehkan mengqadha puasa Ramadan
Puasa qadha bulan Ramadan harus dikerjakan pada bila-bila masa sahaja dan tiada hari yang menjadikannya makruh untuk dikerjakan. Waktu yang ditegah untuk mengerjakan puasa qadha hanyalah pada hari-hari yang diharamkan berpuasa. Hari-hari yang disebutkan makruh berpuasa di dalam kitab-kitab Feqh hanyalah untuk puasa sunat sahaja seperti melakukan puasa sunat pada hari Sabtu semata-mata atau pada hari Ahad semata-mata.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah adalah harus mengqadha puasa Ramadan pada sepanjang tahun kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu pada bulan Ramadan, pada dua hari raya iaitu Hari Raya ‘Idilfithri dan Hari Raya ‘Idiladhha dan pada hari-hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Adapun bagi sebilangan orang yang keliru mengenai mengqadha puasa pada hari Syak; tidaklah ada halangan melakukan puasa qadha pada hari tersebut, begitu juga dengan puasa wajib yang lain seperti puasa kaffarah dan puasa nazar.
Bolehkah melakukan puasa Sunat jika puasa qadha belum dilunaskan ?
Menurut para ulama Syafi‘eyah, tidak harus bahkan haram bagi orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran syar‘ie mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha puasa yang tertinggal itu.
Puasa-puasa sunat hanya boleh dilakukan oleh orang yang mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haid dan nifas, musafir yang diharuskan berbuka atau orang sakit.
Bolehkah puasa qadha disatukan dengan puasa Sunat ?
Bagi orang yang tidak berpuasa disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak sebagaimana di atas, maka diberikan peluang bagi mereka untuk mengqadha puasa seterusnya mendapatkan pahala sunat dengan melakukan kedua-dua puasa (puasa qadha dan puasa sunat) sekaligus seperti melakukan puasa qadha di samping puasa sunat enam di bulan Syawal.
Cara melakukan kedua puasa itu sekaligus ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat.
Ibn Hajar al-Haitami r.a. dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya yang ertinya:“Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau dia berniat salah satunya maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya”.
Oleh yang demikian orang yang berniat puasa wajib hendaklah dia berniat juga puasa sunat jika dia ingin mendapat ganjaran pahala keduanya. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.
Sebagai kesimpulan, segeralah lunaskan puasa Ramadan yang terluput sama ada ditinggalkan secara sengaja atau kerana keuzuran syar‘ie kerana menyegerakan mengqadha puasa akan mengelak kita dari melalaikan qadha puasa. Jangan sampai terjadi kita tidak sempat mengqadhanya. Akibatnya, bukan sahaja kerugian harta kerana mengeluarkan fidyah, bahkan dosa juga ditimpakan kerana mengabaikan suruhan Allah.