Sehari bersama warga emas

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Dalam usaha untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap pemedulian kesejahteraan warga emas di negara ini, lapan orang belia telah menjalankan Projek Sehari Bersama Warga Emas di rumah seorang warga emas di Kampung Lambak, kelmarin.

Belia-belia berkenaan terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang sedang menjalani Tahun Penemuan di bawah penyeliaan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, projek berkenaan bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan keprihatinan terhadap kebajikan warga emas yang kurang bernasib baik, dengan menggalakkan golongan belia untuk berkhidmat secara langsung kepada warga emas.

Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada golongan belia bagi memperoleh ilmu mengenai manfaat hubungan antara generasi-generasi berlainan, seperti mengeratkan jalinan ukhuwah dan memupuk kesedaran terhadap kepentingan memelihara kesejahteraan warga emas dalam hidup bermasyarakat.

Untuk menjayakan tujuan projek berkenaan, mahasiswa dan mahasiswi terlibat telah meringankan tangan untuk membantu warga emas berkenaan dengan membersihkan kawasan rumah beliau.

Beberapa jenis makanan keperluan harian juga turut disumbangkan kepada warga emas tersebut.

Mahasiswa dan mahasiswi UBD yang terlibat bergambar ramai bersama warga emas yang dikunjungi menerusi projek berkenaan.