Selepas 13 tahun duduk di kerusi pengarah, Sein Qudsi akhirnya kembali berlakon menerusi filem Wantugo.
Sein atau Syed Hussein Syed Mustafa Al Qudsy, 42, berkata skrip yang menarik membuatkan dia teruja untuk kembali berlakon selepas sekian lama tidak berbuat demikian.
“Mulanya saya terkejut kerana penerbit Gayatri telefon saya sendiri selepas Zul Ariffin sarankan saya sertai filem ini.
“Tapi bila tahu cerita dan pengarahnya adalah Nuhanisham Muhammad, saya tertarik dan terus terima,” katanya kepada mStar.
Menurut Sein, sebelum ini dia mahu lebih fokus membina kerjaya sebagai seorang pengarah membuatkan dia berhenti berlakon seketika.
Namun kini dia sudah berpuas hati apabila karya-karya yang dihasilkan mula mendapat tempat di hati penonton.
“13 tahun tidak berlakon dan muncul di depan skrin kerana mahu lebih fokus kepada pengarahan.
“Saya buat keputusan itu kerana nak bina kerjaya sebagai pengarah. Alhamulillah sekarang saya kembali selepas banyak karya saya hasilkan sudah terima ramai,” katanya lagi.
Berkongsi pengalamannya kembali berlakon, Sein memberitahu dia merupakan individu terakhir yang masuk ke set penggambaran.
Katanya pengalaman sebagai seorang pengarah membuatkan dia lebih mudah memahami kehendak penerbit.
“Tiada rasa janggal untuk kembali berlakon kerana pengalaman yang ada. Bila saya baca skrip saya boleh tahu apa yang dimahukan dari karakter saya. Bukan nak kata mudah tapi secara semulajadi lebih senang nak menghayati,” ujarnya.
Wantugo merupakan sebuah filem survival thriller mengisahkan sekumpulan individu yang pergi ke taman tema terbiar dan bermain tiga pusingan permainan maut.
Selain Sein, Wantugo turut dibintangi, Elizabeth Tan, Daiyan Trisham, Meerqeen, Zul Ariffin dan Nia Atasha. – Agensi
