PASIR MAS, 30 JUN – “Selama sejam berpaut pada bot, menangis dan meminta pertolongan sebelum diselamatkan oleh bot nelayan,” kata Muhammad Faris Ramli, 22, salah seorang mangsa terselamat dalam tragedi bot terbalik dibadai ribut di perairan Bachok, malam tadi.
Menceritakan kejadian tersebut, Muhammad Faris berkata, beliau bersama 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak baharu tiba di lokasi kejadian untuk melakukan aktiviti menyandat sotong dan memancing.
“Kami baharu sampai di tempat kejadian pada waktu Maghrib dan hanya sekejap mencandat sotong dan memancing sebelum ribut datang dengan tiba-tiba dan terbalikkan bot kami.
“Pada waktu itu tekong bot mengarahkan kami masuk ke bahagian dalam bot untuk menyelamatkan diri, dia (tekong) kata tali sauk bot putus, kejadian berlaku amat pantas sehingga saya tidak melihat apa-apa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Tok La di sini, hari ini.
Kejadian itu telah meragut lima nyawa, tiga masih hilang dan 12 disahkan selamat.
Anak sulung daripada enam adik beradik itu berkata, beliau yang pertama kali memancing ke laut berjaya menyelamatkan diri apabila berpaut di pelampung pukat ikan. – Bernama
