Saturday, November 30, 2024
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sejambak bunga segar tambah seri rumah

    Oleh Jessica Damiano –

    NEW YORK – Setiap musim bunga, saya memotong batang-batang bunga lilac yang harum dari kedua-dua pokok di tepi pagar rumah saya dan meletakkannya dalam sebuah pasu dalam rumah, di mana bau wangiannya memenuhi seluruh tingkat pertama dan lebih baik berbanding mana-mana lilin beraroma.

    Pada musim panas, beberapa bunga hydrangea dan mawar juga saya letakkan di dalam rumah. Bunganya menarik perhatian ketika disimpan dalam pasu di atas meja makan saya.

    Hampir setiap bunga boleh dipotong dan dihiasi di dalam rumah, tetapi untuk membangunkan taman pemotongan bunga yang betul memerlukan sedikit perancangan dan langkah pertama adalah dengan menganggap bunga awda sebagai tanaman yang akan dituai.

    Sama seperti beberapa jenis tomato yang lebih disukai untuk digunakan dalam sos, sesetengah bunga lebih baik untuk dipotong dan disusun daripada yang lain.

    Bunga-bunga dengan batang pendek, misalnya, tidak sesuai untuk dipindahkan ke dalam pasu. Begitu juga dengan bunga yang rapuh, yang akan layu di dalam rumah dalam masa sehari.

    Foto bertarikh 22 Jun yang disediakan oleh Jessica Damiano ini menunjukkan sejambak bunga mawar, garden phlox, yarrow dan catmint di Glen Head, New York. – Gambar AP
    Gambar AP
    Imej yang disediakan oleh SOW Local ini menunjukkan bunga berwarna-warni yang tumbuh di Oakdale, New York. – Gambar AP
    Bunga zinnia mekar di taman bunga di Mamaroneck, New York pada 29 Ogos 2022. – Gambar AP

    Katalog benih menawarkan pilihan terbaik, dan penerangannya sering menyatakan sama ada bunga sesuai untuk dipotong dan disusun.

    Pokok bunga semusim dan tumbuhan saka kedua-duanya boleh ditanam di taman pemotongan. Pokok bunga semusim melengkapkan keseluruhan kitaran hayatnya dalam satu tahun tetapi biasanya menghasilkan banyak bunga sepanjang musim. Bagi memastikan bekalan bunga yang berterusan untuk pemotongan, gunakan kaedah ‘tanaman penggiliran’ dengan menyemai lebih banyak anak benih setiap dua minggu.

    Tumbuhan saka kembali tahun demi tahun tetapi selalunya tidak produktif seperti pokok bunga semusim.

    Ada yang mekar selama dua atau tiga minggu sahaja, yang lain mekar semula berulang kali.

    Perlu diingat walaupun pokok bunga semusim akan menghasilkan banyak bunga dalam satu tahun, tumbuhan saka yang ditanam daripada anak benih biasanya tidak akan mekar sehingga tahun kedua dan kadang-kadang tidak sehingga tahun ketiga.

    Pokok bunga semusim yang sesuai untuk dipotong termasuk balung ayam, bunga kosmos, bunga butang, bunga larkspur, bunga matahari, bunga renda Ratu Anne, bunga salvia dan bunga kertas.

    Manakala, tumbuhan saka yang boleh ditanam dan dipotong termasuk bunga astilbe, bunga bee balm, bunga Susan bermata hitam, bunga kekwa, bunga kon, bunga foxglove, bunga garden phlox, bunga gladiolus, bunga lili, bunga peony, bunga ranunculus, bunga mawar, bunga salvia, bunga Shasta daisy dan bunga yarrow.

    Satu lagi kategori tumbuhan, yang dipanggil saka lembut, secara teknikalnya adalah tumbuhan saka kerana kitaran hayatnya tidak lengkap dalam satu tahun tetapi ia biasanya dianggap sebagai pokok bunga semusim kerana sesetengahnya tidak tumbuh kembali dan yang lain tidak dapat bertahan pada musim sejuk di luar zon ketahanannya.

    Tumbuhan saka lembut yang sesuai untuk dipotong termasuk bunga calendula, bunga popi California, bunga snapdragon, bunga statice dan bunga straw.

    Pokok bebawang, tuber dan umbisi seperti bunga allium, bunga daffodil, bunga tulip dan bunga dahlia boleh diambil kira juga.

    Dan jangan lupakan tumbuhan pengisi seperti pakis, bunga baby’s breath, bells of Ireland, dusty Miller, tembakau, oregano, silver dollar plant dan ranting serta dahan yang menarik dapat meningkatkan sejambak bunga pilihan awda ke tahap profesional.

    Kedua-dua pokok bunga semusim dan tumbuhan saka boleh ditanam di atas tanah, dalam batas yang ditinggikan atau bahkan di dalam bekas. Sekiranya awda mempunyai ruang yang mencukupi, menanamnya di batas berasingan akan memudahkan penanaman tahunan.

    Namun, jika kekurangan ruang, tanamlah di mana saja, walaupun ia bermakna menyelitkan bunga di antara sayur-sayuran atau tumbuh-tumbuhan.

    Kebanyakan bunga memerlukan tanah yang subur, bersaliran baik, penyiraman yang kerap dan kira-kira enam hingga lapan jam cahaya matahari langsung setiap hari. Awda boleh menggunakan tumbuhan yang dibeli dari tapak semaian, mulakan sendiri dari anak benih di dalam rumah atau menyemai anak benih terus ke taman.

    Tambahkan beberapa kompos ke dalam lubang penanaman untuk menyuburkan.
    Atau, jika awda merancang lebih awal, taburkan tanah dengan dua ke tiga inci kompos pada musim luruh dan batas tersebut akan menjadi subur menjelang musim bunga.

    Batas hendaklah tidak lebar lebih daripada tiga atau empat kaki, yang akan memastikan hasil tuaian awda mudah dijangkau dari semua sisi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda