Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Sejarah arang Artik kian terpadam

    NORWAY – Di sebuah kawasan bekas lombong Svea di Artik, landasan kereta api yang rosak ditumbuhi semak tidak membawa ke mana-mana.

    Daripada 100 buah bangunan yang pernah membentuk bandar itu, hampir tiada apa-apa lagi yang tinggal.

    Arang batu memberi kekayaan kepada kepulauan Svalbard di Norway, tetapi sumber kekayaan itu menjadi sumpahan bagi kumpulan pulau terpencil ini, kini menjadi sumber tenaga fosil yang paling berbahaya kepada iklim.

    Svalbard, kini mempunyai kira-kira 3,000 orang penduduk dan terletak di kawasan yang paling cepat panas di planet ini, sedikit demi sedikit memadamkan semua sejarah perlombongannya.

    Penerbangan menaiki helikopter selama 40 minit dari bandar utama Longyearbyen, lombong Svea dan penempatan sekitarnya telah kembali kepada alam semula jadi selepas projek pemulihan besar-besaran yang baru siap.

    Kereta api berkarat dan runtuhan di tapak bekas lombong arang batu Svea. – AFP
    Fredrik Juell Theisen ahli geologi yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Hal Ehwal Kutub dalam kerajaan Norway di Van Mijenfjord, Kepulauan Svalbard. – AFP
    Gambar menunjukkan tanduk rusa di tapak bekas lombong arang batu Svea yang beroperasi dari 1917 hingga 2020. – AFP
    Svea Morten Hagen Johansen memegang gambar lombong di hadapan tapak di Van Mijenfjord. – AFP

    “Pada zaman kegemilangannya, terdapat berek untuk 300 orang, dengan kantin, lapangan terbang dengan 35,000 penumpang setiap tahun, loji jana kuasa, bengkel dan stor,” kata Morten Hagen Johansen, yang bertanggungjawab ke atas projek di lombong di mana dia pernah bekerja.

    Lombong Svea ialah kawasan pemulihan semula jadi terbesar yang pernah dilakukan di Norway.

    Hanya beberapa objek buatan manusia yang tinggal, dipelihara kerana ia dianggap sebagai bersejarah.

    Antaranya termasuk beberapa bangunan batu bata usang, kenderaan trek berkarat dan landasan kereta api yang pernah mengangkut gerabak yang sarat dengan arang batu.

    Kawasan ini ‘pernah menjadi tempat tinggal kepada ramai pelombong yang bekerja di sini selama berpuluh-puluh tahun,” kata Hanna Geiran, Ketua Pengarah Warisan Budaya Norway kepada AFP.

    “Memelihara artifak-artifak ini membantu kita memahami dengan lebih baik mengenai sejarah tempat ini,” tambahnya.

    TANAH SUSUR

    Lombong itu dibuka oleh sebuah syarikat Sweden pada 1917 dan ditutup secara rasmi 100 tahun kemudian selepas menghasilkan 34 juta tan arang batu.

    Tapak itu telah dikembalikan kepada keadaan semula jadinya dengan kos sekitar 1.6 bilion kroner kepada kerajaan Norway.

    “Konsepnya adalah untuk cuba membiarkan alam semula mengambilnya kembali,” kata Hagen Johansen.

    “Ini bermakna membiarkan anak sungai mengalir dengan bebas. Memastikan tanah susur benar-benar berlaku, kerana ia akan mengangkut lebih banyak sedimen ke bawah dan akan menghasilkan sungai-sungai baharu.”

    Bahagian Laut Barents di mana kepulauan Svalbard terletak kini menjadi semakin panas sehingga tujuh kali lebih cepat daripada seluruh planet ini, menurut satu kajian yang diterbitkan pada tahun lepas.

    Di Svea, tanah runtuh yang luar biasa baru-baru ini mencipta retakan mendalam di cerun berbukit.

    “Ia adalah hasil daripada hujan yang sangat lebat pada musim panas lalu di mana kawasan tersebut mendapat kira-kira 50-60 milimeter hujan dalam masa hanya 24 jam,” kata ahli geologi, Fredrik Juell Theisen.

    “Ini sangat luar biasa sebelum perubahan iklim mula mengubah iklim di sini,” tambahnya.

    KEHADIRAN RUSIA

    Kesan perubahan iklim sedang dirasai di kepulauan itu yang cuba memisahkan diri daripada bahan api fosil.

    Tujuh lombong lain yang terletak di bukit-bukit Longyearbyen hampir semuanya telah ditutup, dengan yang terakhir dijangka akan ditutup pada 2025.

    Pekan itu juga menghentikan operasi loji arang batunya buat selama-lamanya pada bulan ini sebagai pertukaran dengan loji diesel yang kurang mencemarkan, menjelang peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui pada peringkat kemudian.

    Melangkah ke hadapan, ekonomi Svalbard akan bergantung kepada pelancongan dan penyelidikan saintifik.

    Satu-satunya lombong arang batu yang masih beroperasi di kepulauan ini adalah di Barentsburg, sebuah komuniti perlombongan Rusia dengan hampir 500 orang Rusia dan Ukraine, kebanyakannya dari wilayah Donbas.

    Di bawah perjanjian antarabangsa 1920 yang mengiktiraf kedaulatan Norway ke atas Svalbard, semua pihak yang menandatanganinya berhak untuk mengeksploitasi sumber semula jadi di wilayah ini secara sama rata.

    Akibatnya, Rusia telah mengekalkan komuniti perlombongan di Svalbard selama berpuluh-puluh tahun, melalui syarikat milik kerajaan, Trust Arktikugol, di sebuah kawasan strategik yang dimiliki oleh ahli NATO.

    Menurut beberapa pemerhati dan Rusia sendiri, peraturan alam sekitar yang ketat yang telah diperkenalkan oleh Norway di wilayah ini – kira-kira dua pertiga daripada tanah Svalbard dilindungi dengan cara-cara tertentu – sebahagiannya bertujuan untuk mengehadkan.

    Sukar untuk mengetahui sama ada pertimbangan-pertimbangan sedemikian memainkan peranan dalam keputusan Oslo untuk mengembalikan lombong Svea dengan kos yang tinggi, kata Mats Kirkebirkeland dari Civita, badan pemikir Norway.

    “Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa beberapa dasar alam sekitar Norway dan dasar geostrategik di Svalbard adalah sejajar.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...