Sejarah, budaya Padang jadi tarikan Pelancongan

Oleh Yusrin Junaidi

Terkenal sebagai destinasi pelancongan hebat di Indonesia, Padang menawarkan pengalaman percutian yang cukup berbeza dan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Perkara itu diakui oleh penulis sendiri di mana Padang sangat kaya dengan kebudayaan masyarakat yang menakjubkan.

Lazimnya, setiap kali melancong ke luar negara, sesetengah individu akan menghabiskan masa dengan membeli-belah di gedung-gedung perniagaan, taman permainan dan sebagainya. Namun berbeza situasinya apabila berada di Padang, Sumatera.

Padang, Sumatera memiliki lebih daripada itu, dengan pemandangan semula jadi yang indah membuatkan pelancong mengagumi kehebatan itu. Bagi anda yang bercadang untuk melancong ke Padang, Indonesia, anda digalakkan untuk mengenali terlebih dahulu wilayah tersebut. Padang merupakan pekan terbesar di Sumatera Barat dan ia merupakan pintu masuk ke kawasan Tanah Tinggi Minang.

Dengan adanya pelabuhan terbesar di Pantai Barat Sumatera, pekan ini menjadi tarikan utama bagi peniaga-peniaga yang menjual getah, kayu manis, kopi, teh dan arang batu. Sejurus selepas penulis tiba di Lapangan Terbang Minangkabau, kami disambut dengan riang oleh agensi pelancongan Ghina Padang.

Selepas itu, kami diberikan taklimat mengenai sejarah Sumatera Barat, di mana ia merupakan wilayah Indonesia yang sangat dekat dengan Malaysia. Di sepanjang perjalanan menuju ke hotel penginapan, kami disajikan dengan pemandangan yang indah, seperti sungai-sungai yang mengalir, gunung-ganang, rumah gadang asli dan banyak lagi.

Persembahan tarian tradisional di Payakumbuh.
Penulis ketika menikmati keindahan Tasek Meninjau yang terletak di atas gunung.
Lawatan para media ke Masjid Raya Sumatera Barat.

Apa yang menarik di sepanjang perjalanan ialah penulis dapat menyaksikan setiap 100 meter akan terdapat surau, masjid dan balai ibadat serta ini memperlihatkan bahawa Padang menerapkan prinsip sembahyang lima waktu adalah wajib dilaksanakan.

Sebaik sahaja sampai di Batu Sangkar, pekan yang terletak di Tanah Datar, juga dikenali sebagai ikon pelancongan budaya di Sumatera Barat, Batu Sangkar memiliki budaya yang beragam dan sangat unik, sehingga perlumbaan menggunakan sapi juga masih diamalkan di pekan ini.

Selepas sahaja mengunjungi Istana Pagaruyung dan Payakumbuh, rombo-ngan media kemudian dibawa ke Bukit Tinggi dan bermalam di salah sebuah hotel yang ada di kawasan berkenaan. Kawasan ini turut menawarkan pemandangan yang indah serta berbeza dengan kawasan Payakumbuh dan Batu Sangkar.

Bukit Tinggi menawarkan panorama dan keindahan alam yang sangat mempesonakan malah ia merupakan sebuah pekan pelancongan yang sejuk dan terdapat banyak destinasi menarik di kawasan Bukit Tinggi ini seperti Jam Gadang, Lobang Jepun dan Ngarai Sianok.

Menawarkan satu pengalaman yang indah

Destinasi ini merupakan mercu tanda bagi Bukit Tinggi. Pelancong boleh mengambil gambar kenang-kenangan dengan berlatar belakang Jam Gadang dan anda boleh menyewa kuda serta menaiki beca untuk bersiar-siar di kawasan berkenaan. Lokasi Jam Dagang memang sangat meriah dan sentiasa dipenuhi dengan pengunjung malah ia juga berdekatan dengan sebuah pusat membeli-belah iaitu Pasar Atas.

Lawatan kami seterusnya ke Ngarai Sianok dan Lobang Jepang, ia terletak di Pusat Kota Bukit Tinggi, sekitar 1km dari Jam Gadang, tarikan disini memang sangat terkenal bagi para pelancong tempatan dan asing. Menurut mereka pada musim percutian sekolah dan hujung minggu, sekitar lebih 1000 orang pengunjung datang setiap hari ke Ngarai Sianok iaitu Grand Canyon Indonesia.

Sesuai dengan namanya, kawasan berkenaan memberikan kepuasan kepada yang berkunjung, dengan landskap alam semula jadi yang berbentuk ngarai indah dengan latar belakang gunung, terutamanya jika dilihat sebelum matahari terbenam memang sangat indah.

Apa yang menarik bagi kami ialah, tempat berkenaan mempunyai sejarah silamnya yang mengerikan, di mana di Ngarai Sianok tentera Jepun telah membina sebuah gua pada tahun 1942 hingga 1945 ketika persiapan untuk perang dunia II.

Menurut mereka, gua berkenaan mempunyai lubang-lubang khas atau lubang musang yang dianggarkan sepanjang 6km dibuat atas arahan Leftenan Jeneral Watanabe, seorang pemerintah tentera Jepun.

Lubang Musang atau Lubang Jepang ini dikatakan dapat menahan letupan bom seberat 500kg dan ia terbukti semasa gempa bumi yang melanda Sumatera Barat pada 2009 dan gua berkenaan tidak mengalami kerosakan walau sedikitpun.

Pembinaan lubang Jepun berkenaan memakan masa selama tiga tahun dengan kedalaman mencapai 49 meter di bawah permukaan tanah dan diserahkan kepada Indonesia ketika ia menyerah kalah pada 17 Ogos 1945.

Apa yang menyedihkan, bagi pembinaan lubang berkenaan, orang Jepun telah memaksa orang dari Jawa, Kalimantan dan Sulawesi untuk bekerja di lubang tersebut sehingga akhir hayat mereka. Dan tidak ada seorang pun dari Bukit Tinggi yang bekerja di lubang itu bagi menjaga rahsia operasi berkenaan.

Bagi mereka yang ingin mengunjungi Padang Sumatera, adalah digalakkan untuk mengunjungi lokasi-lokasi berkenaan. Bukan sahaja di Payakumbuh, Bukit Tinggi dan Batu Sangkar.

Antara lokasi tarikan yang menarik di Padang selain yang disebutkan sebelum ini ialah lawatan suku etnik Mentawai, Muzium Adityawarman Padang, Pantai Padang, Gunung Padang, Air Manis atau Pantai Batu Malinkundang, Padang Kepulauan, Bukit Lampu, Old City, Masjid Ganting, Air Terjun Lembah Anai, Kampung Minangkabau, Padang Panjang, Istana Bung Hatta, Lake Lake, Puncak Lawanta, Putar 44, Rumah Buya Hamka, Istano Silinduang Bulan Batusangkar, Kampung Nagari yang tertua, Ribu Selatan Solok Gadang Rumah, Hoyak Tabuik Pariaman, Agrotourism Afuza, Putar 9 dan Lembah Harau.