Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sejarah hijrah ‘guru’ kehidupan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Peristiwa hijrah mengandungi banyak pengajaran untuk dicontohi seperti akhlak Nabi Muhammad SAW dan sejarah hijrah adalah ‘guru’ bagi kehidupan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1442, malam ini.

    Baginda Sultan bertitah menekankan bahawa kita boleh belajar daripada sejarah hijrah tentang apa jua seperti kepimpinan, pengorbanan, kesetiaan, kesabaran dan lain-lain.

    “Itulah hebatnya hijrah, makanya kita pun perlu memperingatinya. Dengan menyambut Tahun Baharu Hijrah bererti kita menyingkap balik lembaran sejarah hijrah dan bertolak dari sinilah, umat Nabi Muhammad SAW telah bangkit membina tamadunnya yang gilang-gemilang,” titah Baginda.

    Tamadun yang hebat, tidaklah mesti dibina dari mata benda tetapi asasnya adalah ‘kemuliaan’ dalam kehidupan.

    Kerana itu akhlak atau keperibadian yang baik adalah menjadi keutamaan sebagaimana Nabi Muhammad SAW sendiri menjelaskan sendiri akan tujuan Baginda diutus dengan sabda Baginda bermaksud, “Sesungguhnya aku diutus ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1442, malam tadi. – Gambar oleh Infofoto

    Baginda Sultan menjelaskan, “Di antara ciri-ciri akhlak mulia itu sangat ketara menjadi pakaian Rasulullah SAW, dan juga para sahabat ketika hijrah.

    “Pada diri Baginda Rasulullah terserlah akhlak yang mulia lagi terpuji seperti berani, sabar dan tidak berganjak daripada melaksanakan perintah Allah.”

    Sementara itu, sahabat-sahabat yang terlibat dalam misi hijrah juga menampakkan akhlak yang luhur menjadi pendukung dan penyokong kuat kepada Nabi SAW.

    Dalam menanai perintah Allah, Baginda sedikit pun tidak ragu atau takut sekalipun jalan yang ditempuh sangat sukar dan merbahaya.

    Dalam dunia yang penuh dengan pancaroba ini, sangat mustahak bagi umat Islam untuk berpegang kuat kepada nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda.

    Adapun akhlak teragung Nabi Muhammad SAW ialah Al-Quran, dalam makna, semua ajaran Al-Quran itu adalah cara hidup Baginda yang wajib dicontohi dan diikuti oleh seluruh umat.

    “Di Brunei Darussalam kita memperingati hijrah dengan berkumpul di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat dengan diisi majlis membaca Doa Akhir Tahun, sembahyang Maghrib berjemaah, membaca Doa Awal Tahun dan lain-lain.

    “Kita juga menggalakkan supaya diadakan ceramah-ceramah menerusi radio dan televisyen sebagai cara untuk memperkaya pengetahuan mengenai hijrah atau apa jua yang dapat diambil pengajaran daripadanya,” tekan Baginda.

    Sehubungan itu, Baginda berharap agar ceramah-ceramah tersebut akan dapat disampaikan dengan cara yang baik dan menarik serta mudah untuk difahami.

    “Jika semua ini dapat dicapai, maka barulah usaha yang demikian itu dapat dianggap berbaloi. Beta yakin perkara ini dapat diusahakan.”

    Semasa mengakhiri titah, Baginda dan kerabat diraja turut berkenaan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1442 kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda