Sejarah hijrah pusaka sepanjang zaman

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Sejarah Hijrah adalah sejarah terhebat dan agung, di mana ia dijadikan sebagai pusaka kepada seluruh umat sepanjang zaman meski pun seribu tahun lagi dan terus unggul sehingga hari kiamat.

“Hijrah yang membawa erti pindah atau beralih tempat merupakan satu perpindahan demi menjunjung perintah Allah, pemilik sekalian alam semesta.”

Perkara tersebut merupakan antara inti pati Ceramah Khas Bersama Mufti Sempena 1442 Hijrah yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, Hijrah mengandungi hikmah untuk menyelamatkan akidah, dan Nabi Muhammad SAW sendiri adalah ketua misi penyelamat itu.

Hijrah juga merupakan satu perjuangan, di mana Nabi Muhammad SAW, Sayyidina Ali dan Sayyidina Abu Bakar merupakan antara pejuang yang menegakkan agama Islam demi untuk menjunjung perintah Allah.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz ketika menyampaikan ceramah khasnya sempena 1442 Hijrah. – Gambar serahan Jabatan Mufti Kerajaan

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa strategi perjuangan hijrah itu ada tiga, iaitu strategi bilangan, strategi tempat, dan strategi akidah.

Strategi bilangan seperti firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 40 yang tafsirnya: “Ketika kaum musyrikin (di Mekah) mengeluarkan Nabi (daripada Mekah), dua orang bersahabat (Baginda dan Abu Bakar) berlindung di dalam gua.”

“Hanya mereka berdua sahaja di dalam gua itu. Bilangan ‘dua’ inilah strategi. Cukup-cukup dua. Kerana ruang gua memang hanya cukup-cukup untuk dua orang sahaja,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Sementara gua sendiri (gua Tsur) pula, tambahnya merupakan strategi tempat dan ianya merupakan strategi yang tidak kurang pentingnya untuk menjayakan misi hijrah.

Manakala strategi akidah pula sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 40, tafsirnya: “Ketika dia (Nabi Muhammad) berkata kepada sahabat Baginda (Sayyidina Abu Bakar): Janganlah engkau berduka cita, sesungguhnya Allah adalah bersama-sama dengan kita”.

Strategi ini menurut Yang Berhor-mat Pehin adalah paling diperlukan, kerana tanpa adanya strategi ini, jiwa yang lemah akan kekal lemah, semangat yang sejuk akan kekal sejuk, tidak bermaya untuk melakukan perjuangan besar, seperti hijrah.

Setelah strategi ini wujud dan dihayati, menurut Yang Berhormat Pehin, maka dapatlah dibayangkan, jiwa yang mulanya lemah, pasti akan jadi kuat, semangat yang malap, pasti akan marak menyala.

Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan bahawa bukan sebarang orang yang akan ditolong oleh Allah dengan tentera-tenteraNya, tetapi dikehendaki mesti memenuhi dua syarat, iaitu pertama orang itu adalah orang beriman yang mahu merendah diri memohon pertolongan Allah.

“Di dalam peristiwa hijrah, tegasnya lagi, semuanya berlaku di kalangan para pejuang dan pendukung hijrah yang dipimpin oleh SAW sendiri, yang cukup memenuhi syarat-syarat merendah diri kepada Allah, bersabar dan bertakwa, tidak mengeluh, tidak takut, tidak berpaling walau sedikit pun daripada Allah, makanya kerja atau perjuangan yang sukar ini mencapai kejayaan,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.