Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sejarah kejatuhan Jitra dalam ‘Battle Of Jitra’

    ALOR SETAR – ‘Battle of Jitra’ amat signifikan dalam catatan sejarah Kedah, apabila pertempuran yang bermula di Jitra semasa Perang Dunia Kedua itu, menyebabkan British mula kalah di sebelah Timur selepas berperang dengan Jepun pada 11 hingga 13 Disember 1941.

    Pertempuran itu juga menjadi titik permulaan kepada operasi ketenteraan Jepun di bawah kepimpinan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita, yang bermula pada 11 Disember 1941 sehingga kejatuhan Singapura ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942.

    Pengarah Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Kasri Saidon berkata, Jitra merupakan bandar utama pada masa itu yang perlu dipertahankan British, berikutan kedudukan Jitra berada kira-kira 10 kilometer ke arah selatan di mana terletaknya Lapangan Terbang Kepala Batas dekat Alor Setar.

    “Sebelum pertempuran itu berlaku, pihak British menyedari akan rancangan Jepun yang mahu menawan Tanah Melayu, dan telah melakukan pelbagai persediaan termasuk membuat kubu pertahanan, selain menempatkan aset ketenteraan seperti meriam di kawasan sekitar Changlun, Asun dan Nongka, dekat Kubang Pasu ini,” katanya kepada media.

    Mohd Kasri berkata bagaimanapun pihak British tidak menjangkakan daripada segi taktikal peperangan tentera Jepun, apabila serangan berlaku pada musim tengkujuh sehingga menyebabkan kubu yang dibina di kawasan sawah, tidak dapat digunakan secara efektif setelah dinaiki air.

    Penduduk Kampung Baru, Romli Salleh merupakan individu tunggal yang menyaksikan pertempuran ‘Battle of Jitra’ antara Tentera Jepun dan Tentera British pada Disember 1941 itu. – Bernama
    Serpihan enjin kapal perang HMS Repulse yang digunakan oleh pasukan Royal Navy British untuk menyekat tentera Jepun ke Tanah Melayu pada 10 Disember 1941. – Bernama
    Tinjauan dari udara menggunakan dron menunjukkan kubu pertahanan lama yang dibina oleh pihak British pada tahun 1941 di Lorong Kubu, Kampung Baru di Bukit Pinang, Alor Setar. – Bernama
    Senjata lama yang digunakan oleh tentera Jepun dalam pertempuran ‘Battle of Jitra’ dengan tentera British pada tahun 1941 untuk menawan Tanah Melayu disimpan dan dipamerkan di Muzium Universiti Utara Malaysia, Sintok. – Bernama
    Sebahagian daripada lapan buah kubu pertahanan lama yang masih kukuh dibina oleh pihak British pada tahun 1941, digunakan untuk pertempuran ‘Battle of Jitra’. – Bernama

    “British yang turut menggunakan pasukan tentera dari Australia, India dan Gurkha pada masa itu, agak kelam-kabut berbanding tentera Jepun yang lebih berpengalaman dan berkemahiran dalam aspek taktikal peperangan, kerana mereka baru sahaja selesai berperang di Indo-China…ini siri perang yang besar, di sinilah (Jitra) tempat pertama British mula tewas, di sebelah Timur,” katanya.

    Untuk rekod, strategi peperangan tentera British yang diketuai Mejar Jeneral David Murray-Lyon ketika itu yang sepatutnya mampu bertahan selama tiga bulan, hanya bertahan tiga hari selepas Jepun berjaya menumpaskan pihak lawan, dan ini mempercepatkan pergerakan tentera Jepun.

    Menurut Mohd Kasri, kemuncak pertempuran itu yang membawa kepada kekalahan tentera British, apabila British sendiri meletupkan tempat simpanan minyak di Lapangan Terbang Kepala Batas supaya Jepun tidak dapat menggunakan lapangan terbang dan minyak berkenaan.

    “Susulan letupan ini, semangat tentera British yang berada pada barisan belakang luntur bagi terus mempertahankan pasukan mereka dan membuat serangan, sekali gus terpaksa berundur sehingga memberikan keselesaan kepada tentera Jepun untuk memasuki kawasan Alor Setar,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk Kampung Baru di Bukit Pinang dekat Alor Setar yang pernah menyaksikan pertempuran tersebut Romli Salleh, 94, berkata, beliau mendengar letupan sangat kuat dari arah Lapangan Terbang Kepala Batas dan melihat asap hitam berkepul-kepul ke udara, pada Disember 1941 itu.

    Romli yang ketika itu berusia belasan tahun berkata, susulan kejadian berkenaan ada penduduk kampung yang lari bertempiaran, kerana ketakutan akan bunyi letupan yang kuat tersebut.

    Beliau yang masih mengingati beberapa ayat dalam Bahasa Jepun itu menarik perhatian, tapak rumah yang didiami bersama isteri sekarang, pernah menjadi tempat bengkel tentera Jepun pada masa itu.

    “Saya juga pernah bekerja sebagai buruh kepada pihak Jepun, termasuk disuruh mencabut rumput dengan gaji RM1 dan pernah merasai ditampar tentera Jepun bersama rakan saya yang dikenali sebagai panggilan ‘Hamid’, pada ketika itu. Waktu zaman Jepun ini kita hidup susah, nak dapat beras makan pun susah,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda