Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
RAMAI daripada warga emas yang tinggal di Kampong Ayer pada zaman dahulu, ada yang sudah meninggal dan ada juga yang berpindah naik ke darat, serta ada yang menemui penulis semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, merasa kurang senang dengan peletakan papan tanda Kampung Parit yang dipacakkan berhampiran dengan tebing, berdekatan dengan Mahkamah Besar, Bandar Seri Begawan dan Jambatan Edinburgh, di mana ia adalah bukan tapak asal Kampung Parit.
Jika ianya tidak dibetulkan dan tidak dirujuk atau ditanya kepada warga emas yang sudah mengenalinya sejak dari dahulu lagi, pasti ramai daripada
generasi akan datang dan para belia pada masa ini akan percaya bahawa ia adalah tapak asal kampung tersebut.
Tapak asal Kampung Parit adalah di kawasan terletaknya Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), jalan masuk menuju Kubah Makam Diraja, tidak jauh dengan Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi. Pada zaman itu, Kampung Parit adalah tempat bersemayam Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin (Sultan Brunei ke-27) di Istana Parit.
Kini, ia sudah tidak kelihatan lagi, hanya sejarah yang masih segar dalam ingatan warga-warga emas.


Pada zaman dahulu, menurut cerita yang disampaikan kepada penulis, para pembesar-pembesar negara dan orang-orang yang dikurniakan gelaran yang dititahkan oleh Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin untuk ke Istana Parit, mereka ini harus melalui dua batang sungai sahaja untuk sampai ke istana berkenaan iaitu Sungai Kandang Batu dan Sungai Kampung Parit dengan menggunakan perahu.
Kawasan Kampung Parit pada dahulunya adalah kawasan hutan yang dikelilingi dengan pokok-pokok getah.
Penduduk di sana dan mereka yang tinggal di Kampong Ayer telah diambil bekerja sebagai penoreh getah.
Segala cerita dan sejarah lama yang diperolehi penulis ini adalah daripada Allahyarham Pengiran Jaya Perkasa Pengiran Anak Matassan, salah seorang penduduk di Kampung Tumasek, semasa Allahyarham masih lagi sihat. Semoga rohnya dicucuri rahmat, Al-Fatihah.