Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bersama-sama mengadakan upacara peringatan untuk menandakan Ulang Tahun Pendaratan Oboe semasa Perang Dunia Kedua ke-80 di Tugu Peringatan Brunei-Australia di Pantai Muara, hari ini.
Upacara itu dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Michael Hoy; Timbalan Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim; serta pegawai-pegawai kanan ABDB, wakil-wakil diplomatik dan pertahanan serta jemputan khas.
Dalam ucapan pada upacara berkenaan, TYT Michael Hoy menekankan kepentingan Operasi Oboe kepada Brunei, Australia dan Amerika Syarikat tidak boleh diremehkan.
“Operasi OBOE menamatkan Perang Dunia Kedua di Borneo, mengembalikan Sultan ke tempatnya yang sah dan meletakkan Brunei di landasan untuk menjadi negara moden, berkembang maju yang kita lihat hari ini.”
Oleh itu, tambahnya, dengan adanya anggota dari Australia, Brunei dan United Kingdom di upacara berkenaan, membuktikan hubungan rapat yang telah dikekalkan sejak 1945.
Mesej keberanian, kedayatahanan dan pendamaian yang diketengahkan oleh upacara itu, dikukuhkan lagi menerusi pameran foto yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia iaitu Saksi Sejarah yang diadakan di Hab Tenaga sehingga 15 Jun.

